KEMALANGAN yang mengorbankan seorang remaja perempuan babit tiga kenderaan di Jalan Tuaran Bypass berhampiran Simpang U Kampung Kalansanan, Inanam Kota Kinabalu.
KEMALANGAN yang mengorbankan seorang remaja perempuan babit tiga kenderaan di Jalan Tuaran Bypass berhampiran Simpang U Kampung Kalansanan, Inanam Kota Kinabalu.
Junaidi Ladjana

Kota Kinabalu: Luluh hati ibu melihat jasad anak perempuannya yang tercampak keluar dari kereta dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Tuaran Bypass berhampiran Simpang U Kampung Kalansanan Inanam di sini, semalam.

Pada kejadian jam 5 petang, wanita terbabit meraung di sisi mayat anaknya, Nabila Jimos, 16, yang ditutup dengan kain putih hingga mengundang simpati orang ramai.

Nabila ialah pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Inanam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, Perodua Bezza dinaiki mangsa bersama enam rakan dikatakan membuat pusingan U secara tiba-tiba lalu terlanggar sebuah lagi Perodua Bezza daripada belakang.

“Pada masa sama, sebuah Honda City dipandu seorang lelaki berusia 50 tahun terlanggar Perodua Bezza kedua-dua terbabit daripada belakang.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Kota Kinabalu akibat parah di kepala,” katanya.

Menurut beliau, pemandu Perodua Bezza kedua yang juga lelaki berusia 26 tahun dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE 2) untuk rawatan.

“Remaja perempuan berusia 16 tahun yang juga pemandu Perodua Bezza dinaiki mangsa dan pemandu Honda City selamat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 6:10 AM