SAHAK mempunyai otot paha yang kuat hingga digeruni lawan.
SAHAK mempunyai otot paha yang kuat hingga digeruni lawan.
Amran Yahya

Kuala Pilah: “Percaya atau tidak lebih 40 kali saya mewakili Malaysia dalam kejohanan sepak takraw sama ada di dalam atau luar negara, tidak pernah sekali pun pasukan saya tewas,” kata legenda sepak takraw negara, Sahak Yasin, 70.

Pada zaman kegemilangannya, siapa tidak kenal dengan Sahak yang mempunyai senjata libas gunting dan libas pari seperti peluru hingga tidak mampu dihalang lawan.

Sahak yang juga anak jati Kampung Nuri, Johol berkata, rahsia kejayaan itu tidak lain dan tidak bukan disebabkan disiplin serta sikap ingin menaikkan nama negara yang tersemat dalam jiwanya.

“Saya berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1966 dan ketika itu saya bertugas di Rejimen Renjer Diraja (RRD).

“Bakat bermain takraw bermula ketika saya menyertai satu kejohanan di Kuching, Sarawak pada 1969 dan ketika itu saya johan.

“Bermula dari situ, saya diintai pasukan ATM dan dipilih menyertai pasukan ATM yang berpangkalan di Kuala Lumpur. Saya bertukar kor secara sukarela dari RRD kepada Kor Risik Diraja (KRD),” katanya ketika ditemui, semalam.

SAHAK Yasin
SAHAK Yasin

Sahak berkata, pada 1971 dia dipilih mewakili negara antaranya Sukan SEAP (kini dikenali Sukan SEA), Piala Emas Khir Johari, Piala Tuanku Abdul Rahman, Piala Tun Razak, Piala Tan Seri Jamil Rais dan Piala Raja Thai.

“Ketika itu, untuk mewakili negara bukan senang. Jika kita tidak mampu menunjukkan kehebatan atau kesungguhan, jangan harap kita terpilih,” katanya yang bermain di posisi apit kanan.

Menurut Sahak, semua kejayaan itu hasil usaha serta disiplin tinggi di samping minat serta kesungguhan termasuk bimbingan jurulatih untuk menaikkan nama negara di mata dunia.

ANTARA pingat dimenangi Sahak sepanjang bertanding dalam sepak takraw.
ANTARA pingat dimenangi Sahak sepanjang bertanding dalam sepak takraw.

“Mungkin ketika itu saya seorang tentera maka tahap disiplin memang tinggi hingga mampu menjalani latihan fizikal sendirian.

“Sebagai bukti, lihat sahaja paha saya berotot dan sudah pasti mempunyai kuasa libasan gunting yang cukup padu dan tajam.

“Saya individu bertanggungjawab memperkenalkan kaedah blocking dalam dunia sepak takraw. Jika sebelum itu, seseorang killer itu bebas merejam bola tanpa dihadang, tetapi sejak saya perkenalkan kaedah ini, baru permainan nampak menarik. Ada serangan dan ada pertahanan.

“Seperkara lagi, kelemahan ketara seseorang killer sekarang ini adalah mereka biasanya mendarat menggunakan tangan atau jatuh di bahagian belakang.

“Berbeza dengan saya, ia mendarat menggunakan tapak kaki dan ini bagus untuk mengelakkan kecederaan. Contoh terbaik yang mendarat menggunakan kaki legenda sepak takraw negara, Adnan Saidin,” katanya.

ANTARA pingat dimenangi Sahak sepanjang bertanding dalam sepak takraw.
ANTARA pingat dimenangi Sahak sepanjang bertanding dalam sepak takraw.

Sahak dilantik sebagai konsultan sepak takraw negara pada Oktober tahun lalu berkata, dia berusaha mencurah tenaga demi menaikkan kembali mutu sepak takraw di peringkat antarabangsa.

“Saya akan berusaha yang terbaik untuk mengembalikan kehebatan Malaysia di peringkat antarabangsa. Jika dahulu, negara seperti Brunei, Indonesia, Singapura, Myanmar, Laos dan Filipina menjadi belasahan, tetapi keadaan berlaku sebaliknya,” katanya yang turut dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) sempena ulang tahun Keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-70, Ahad lalu.

ANTARA pingat dimenangi Sahak sepanjang bertanding dalam sepak takraw.
ANTARA pingat dimenangi Sahak sepanjang bertanding dalam sepak takraw.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 6:09 AM