Suspek yang lolos dari PTS. FOTO ihsan polis
Suspek yang lolos dari PTS. FOTO ihsan polis
Razik Zayad


POLIS mengedarkan foto lima pendatang asing tanpa izin (PATI) yang meloloskan diri dari Pusat Tahanan Sementara (PTS) Manggatal, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, suspek berusia 23 hingga 62 tahun berasal dari Filipina.

"Lima suspek yang masih bebas dalam kejadian itu dikenali sebagai Muhamad Amir Sulaiman, 23, Alji Sadain, 23, Azmi Alim, 29, Totong Alipudin, 35, dan Mus Mansul, 62.

"Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.

"Semua maklumat boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu Inspektor Paul Lia di talian 014-5969134," katanya hari ini.

Pada kejadian 6.45 petang Isnin lalu, seramai tujuh penghuni PTS dipercayai melarikan diri dengan mengambil kesempatan daripada kelekaan pengawal bertugas.

Dua daripada suspek ditahan berhampiran lokasi kejadian manakala lima lagi meloloskan diri.

Dalam pada itu, Chandra berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 4:52 PM