Sebahagian 68 penduduk bersama tetamu utama ceria menunjukkan dokumen LPS pemilikan tanah yang diterima mereka pada majlis khas penyerahan LPS di Surau Kampung Huma, Mukim Ayer Hangat, Langkawi, hari ini. FOTO Hamzah Osman
Sebahagian 68 penduduk bersama tetamu utama ceria menunjukkan dokumen LPS pemilikan tanah yang diterima mereka pada majlis khas penyerahan LPS di Surau Kampung Huma, Mukim Ayer Hangat, Langkawi, hari ini. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


PENANTIAN 68 penduduk Kampung Huma, Mukim Ayer Hangat, Langkawi, sejak 20 tahun lalu untuk mendapatkan hak milik tanah, berakhir hari ini apabila masing-masing menerima dokumen Lesen Pendudukan Sementara (LPS), hari ini.

Majlis khas penyerahan dokumen pemilikan bagi tanah yang diteroka mereka itu diadakan di surau kampung terbabit dengan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya Kedah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Hangat, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid dan Pegawai Daerah Langkawi, Isahak Murat.

Seorang penduduk, Khatijah Ibrahim, 70, berkata, dia dan arwah suaminya, Ishak Hanafi berusaha memohon untuk mendapatkan geran hak milik tapak kediamannya itu sejak 1997.

"Sebelum ini saya dan arwah suami kerap turun naik pejabat kerajaan bagi mendapatkan geran sehinggalah dia meninggal dunia lapan tahun lalu akibat barah usus.

"Tapi, hari ini mak cik gembira dan terharu kerana dapat pegang sehelai kertas yang memberi hak ke atas tanah hasil usaha kami," katanya ditemui selepas majlis penyerahan LPS, di sini.

Rakannya, Daharah Arop, 66, turut bersyukur kerana penantian lebih 20 tahun untuk mendapatkan hak milik tanah yang diusahakannya bersama suami, Abd Bakar Mahmud, 67, berakhir.

“Dengan adanya surat pemilikan tanah ini, mudah bagi mak cik yang sudah berusia ini untuk menyerahkan pula kepada anak-anak bagi membina rumah atau menanam pokok tanpa was was.

"Memang lega rasa hati mak cik kerana tanah yang diterokai dalam serba kesusahan sejak sekian lama itu akhirnya menjadi milik mak cik secara sah," katanya.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Nawawi berkata, kerajaan sentiasa menghargai kerja kuat serta kesabaran penduduk dalam usaha mereka untuk membangunkan kediaman untuk dihuni keluarga masing-masing.

"Penyerahan LPS ini menunjukkan komitmen berterusan kerajaan untuk menyelesaikan masalah tanah yang dihadapi rakyat di pulau ini dan usaha itu akan diteruskan kepada sejumlah penduduk lain yang masih menanti.

"Kejayaan (memberi surat hak milik tanah) membabitkan banyak pihak terutama Pejabat Tanah Daerah Langkawi dan Pejabat Daerah Langkawi, selain pemimpin tempatan, sekali gus membuktikan kerajaan tidak membuat janji kosong," katanya.

Nawawi berkata, dalam tempoh tiga tahun lalu 268 penduduk yang juga peneroka tanah sekitar daerah ini termasuk di Pulau Tuba, Kuah dan Ayer Hangat menerima LPS selepas mereka mematuhi beberapa peraturan yang ditetapkan kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2017 @ 3:45 PM