Hamzah Osman


Langkawi: Sebanyak 2,340 dos vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech selamat tiba di Langkawi hari ini.

Difahamkan, perjalanan bekalan vaksin itu bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang menerusi jalan darat ke Jeti Kuala Perlis.

Ia dibawa van syarikat logistik, DHL Express yang menaiki feri pengangkut Roro yang berlepas dari Jeti Kuala Perlis kira-kira 10 pagi sebelum tiba di Dermaga Tanjung Lembung di sini, pada 12 tengah hari.

Tinjauan mendapati, ketibaan vaksin Covid-19 di pekarangan Klinik Kesihatan Ayer Hangat disambut Pegawai Kesihatan Daerah Langkawi, Dr Mansor Ismail dan Ketua Pegawai Farmasi Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi, Fathiyah Ali pada 12.40 tengah hari.

VAN syarikat logistik, DHL Express yang membawa vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech tiba bagi tujuan penyimpanan di pekarangan Klinik Kesihatan Ayer Hangat, Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
VAN syarikat logistik, DHL Express yang membawa vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech tiba bagi tujuan penyimpanan di pekarangan Klinik Kesihatan Ayer Hangat, Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Program Vaksinasi Langkawi yang juga Pegawai Daerah Langkawi, Saiful Anwar Azmi dan Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari.

Saiful Anwar berkata, bagi fasa pertama pemberian vaksin membabitkan 1,170 petugas barisan hadapan dengan didahului 12 vaksinator pada Ahad ini.

"Seterusnya, seramai 400 petugas barisan hadapan bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima vaksin mulai 1 hingga 4 Mac ini.

"Disusuli petugas barisan hadapan pelbagai jabatan lain pula bermula 7 hingga 12 Mac ini di Kompleks Sukan Lembaga Pembangunan Langkawi," katanya pada sidang media di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 3:07 PM