MERPATI kesayangan anak-beranak .
MERPATI kesayangan anak-beranak .
HOBI satu keluarga.
HOBI satu keluarga.
WAKAF tempat keluarga berehat sambil melihat gelagat merpati.
WAKAF tempat keluarga berehat sambil melihat gelagat merpati.
TUGAS harian - memberi burung makan menghiburkan hati Ibrahim.
TUGAS harian - memberi burung makan menghiburkan hati Ibrahim.
Rashidah Ibrahim


Melewati sebuah rumah banglo di Bandar Tun Razak, Jengka, mata terarah kepada binaan berdindingkan jaring besi di halaman yang berisi burung pelbagai warna.

Kelihatan seorang lelaki lanjut usia sedang bermain-main dengan burung merpati yang dilepaskan keluar daripada sangkar.

Ibrahim Ali, 84, di halaman ketika itu. Sesekali dia menuangkan makanan, burung itu pantas mematuk, galak makan sehingga terpatuk kuku jari tuannya. Dia terkejut, lalu menarik tangannya sambil tersenyum melayan gelagat burung kesayangan.

Bagai mengetahui hasrat penulis yang sedang melihat dari luar pagar, Ibrahim mempelawa masuk dan tidak lokek untuk membenar dirakam gambarnya bersama burung.

Melangkah masuk ke halaman rumah berkembar itu, rupa-rupanya ada tiga binaan sangkar, satu di halaman sisi dan dua di belakang.

Sangkar di belakang lebih besar. Sangkar pertama di depan berisi burung merpati berlainan spesies. Ada berukuran kecil dan ada yang besar.

“Walaupun nampak berlainan, burung ini semuanya daripada keluarga merpati, hanya spesies berlainan. Semasa beli, tauke kedai ada beritahu nama, tetapi saya dah lupa,” ujarnya.

Di dalam sangkar terdapat pembahagi untuk mengasingkan spesies kecil dan besar.

“Kalau perhatikan burung ini, masing-masing sentiasa berdua. Berjalan atau terbang ke mana-mana dengan pasangannya. Tabiat burung ini, dia tidak menukar pasangan,” kata Ibrahim sambil memberitahu, pada mulanya dia dan anaknya membeli lima pasang merpati.

Menceritakan bagaimana mula terdorong untuk memelihara burung katanya, ia bermula apabila anak lelakinya, Shairoizi Ibrahim, 46, membina sangkar di belakang rumahnya.

“Apabila dia memberitahu ingin memelihara ayam hutan, saya memintanya membina satu lagi sangkar kerana saya mahu memelihara merpati,” ceritanya yang pernah memelihara puyuh dan ikan keli di kebun suatu ketika dahulu.

Selesai sangkar dibina, mereka berdua pergi ke kedai burung dan membeli lima pasang merpati.

“Burung itu bertelur, mengeram dan menetas di dalam sangkar ini. Ia terus membiak dan sehingga kini ada berpuluh-puluh ekor,” ujarnya.

Salah satu sangkar di belakang menempatkan ayam serama yang cuba dibiakkan, tetapi tidak banyak yang hidup. Sangkar satu lagi diisi merpati.

Menariknya, Shairozi yang saban hari sibuk menguruskan kedai kasut di Bandar Tun Razak, Jengka, berjaya mencuri masa untuk membina sendiri sangkar berkenaan daripada kayu dan jaring dawai.

Tiada istilah cuti dalam diari kehidupannya sekeluarga. Walaupun ada hari salah seorang daripada mereka perlu tinggal di rumah untuk melaksanakan tanggungjawab menjaga kedua-dua orang tua, tetapi itu juga dianggap sebagai hari bekerja.

Sebagai orang lanjut usia, tidak banyak perkara boleh dia lakukan selain duduk menonton televisyen dan mengamalkan rutin ibadat. Duduk sahaja tanpa ada sesuatu yang boleh dibuat dan menghiburkan hati, tentulah membosankan.

Dengan adanya burung peliharaan itu, sekurang-kurangnya Ibrahim tidak bosan menunggu anak yang saban hari sibuk di kedai. Ibrahim yang pernah menjadi petani dan peniaga menurunkan bakat berniaga kepada semua anaknya yang seramai tujuh orang.

Satu lagi yang menarik, berhampiran sarang merpati di halaman itu terdapat wakaf kayu juga dibina sendiri oleh Shairozi. Ukurannya agak besar. Menurutnya, wakaf itu mengambil masa agak lama untuk disiapkan kerana hanya dibuat sewaktu masa senggang.

Dengan adanya wakaf itu, Ibrahim lebih gembira kerana boleh beristirahat di situ sambil memerhati gelagat merpati.

Kakak sulung, Fauziah Ibrahim, 61, yang kebetulan bertandang pada hari itu juga teruja melihat wakaf yang baru siap dibina adiknya.

“Kalau adik-beradik datang, bolehlah lepak di wakaf ini,” ujarnya yang kerap datang ke situ.

Halaman sisi satu lagi, tampil nyaman dengan landskap ringkas yang dilengkapi set bangku taman. Ruang sudut pagar depan itu ditanami dengan pokok jenis berbunga dan berdaun hijau.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 11:56 AM