UMI Kelsom menuangkan susu melalui tiub untuk Norjan.
UMI Kelsom menuangkan susu melalui tiub untuk Norjan.
Muhammad Shalaby Shahbuddin


Bukit Mertajam: “Satu tin susu khas hanya mampu bertahan dua hari.” Itu kata seorang ibu tunggal yang begitu memerlukan bekalan susu khas untuk anak perempuannya yang juga orang kurang upaya (OKU) berikutan dibelenggu masalah kewangan sejak kematian suami, empat tahun lalu.

Umi Kelsom Ree berkata, anak keduanya daripada empat beradik, Norjan S Ahmad, 33, perlu diberi minum susu khas tiga jam sekali melalui tiub dipasang di hidung, sekali gus memerlukannya memperuntukkan hampir RM1,000 untuk susu khas itu sebulan.

Dia berkata, harga bagi susu itu RM90 untuk satu tin seberat 850 gram (g), sekali gus menggunakan sekurang-kurangnya 11 tin susu dalam sebulan dan itu tidak termasuk kos keperluan kain lampin pakai buang, tiub makanan yang perlu ditukar dua minggu sekali berharga RM120 dan lain-lain lagi.

“Saya tidak mampu membeli tilam dan katil khas buat Norjan dan dia hanya terlantar menggunakan sebuah kerusi malas, sekali gus menyebabkannya tidak selesa.

“Saya perlu mengalihkan badannya beberapa minit bagi mengelakkannya berasa lenguh untuk menghindarkan luka di belakang badan akibat peluh,” katanya ketika ditemui di Kuala Juru di sini, kelmarin.

Umi Kelsom berkata, sebelum itu dia hanya mengharapkan pendapatan arwah suaminya, S Ahmad Shiraldin yang bekerja sebagai nelayan untuk membeli bekalan susu khas namun arwah meninggal dunia empat tahun lalu akibat sakit buah pinggang dan kencing manis.

Sejak itu, katanya, dia hilang punca kewangan dan hanya mengharapkan elaun OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atas nama Norjan sebanyak RM300 setiap bulan.

“Bekalan susu khas pernah terputus menyebabkan saya memberikan Norjan makan air nasi mendidih dan susu biasa walaupun doktor tidak membenarkan saya berbuat demikian kerana ketika itu saya tiada duit walaupun untuk membeli setin susu.

“Walaupun mempunyai tiga anak sudah berkahwin dan bekerja, mereka mempunyai komitmen masing-masing, selain pendapatan hanya cukup-cukup makan,” katanya.

Mengimbas kembali, Umi Kelsom berkata, Norjan berstatus OKU sejak lahir menyebabkan pergerakannya terbatas dan hanya mampu mengengsot dan merangkak namun tidak dalam keadaan seteruk ketika ini.

Dia berkata, selepas Norjan terkena serangan jantung awal Mac lalu, dia dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Bukit Mertajam (HBM) dalam keadaan koma dan tidak sedarkan diri selama dua minggu.

“Selepas sedar daripada koma, keadaan badan Norjan bertambah buruk apabila kaki dan tangannya menjadi keras, membengkok dan hanya mata mampu melihat, sekali gus perlu menerima rawatan dan perhatian daripada doktor yang memakan masa selama empat bulan di HBM.

“Doktor menasihatkan saya supaya tidak membiarkan Norjan keseorangan kerana jika serangan jantung berlaku buat kali kedua berkemungkinan bantuan pernafasan (CPR) tidak dapat dilakukan berikutan paru-parunya yang rosak,” katanya yang memerlukan modal membuka gerai runcit kecil-kecilan di hadapan rumah untuk menjana pendapatan harian.

Menurutnya, dia perlu membawa Norjan melakukan rawatan susulan tiga bulan sekali dan fisioterapi sebulan dua kali di Hospital Seberang Jaya (HSJ), sekali gus turut memerlukan kerusi roda bagi memudahkan pergerakannya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Maybank (157091246849) atas nama Umi Kelsom atau di talian 011-24192748.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 6:34 AM