PINTU masuk yang didekorasi dengan hiasan berbentuk cendawan.
PINTU masuk yang didekorasi dengan hiasan berbentuk cendawan.
Shuhada Mansor


Sudah biasa bagi penulis mencuba makanan asli Jawa khususnya jika berkunjung ke Yogyakarta, Indonesia. Nasi Gudeg, Nasi Kucing dan Sate Klathak antara yang popular hingga kadang-kala kita lupa untuk mencuba makanan lain yang pastinya menjanjikan kelainan untuk selera.

Jejamuran, restoran terletak di Jalan Pramuka, Daerah Pandowoharjo, Sleman merupakan satu-satunya restoran berasaskan cendawan yang dipilih bagi keseluruhan pilihan menu masakannya.

Kali pertama menjejakkan kaki ke dalam restoran, mata tertumpu di satu sudut utama yang mempamerkan lebih 15 jenis cendawan segar berbeza spesies.

Susun atur menarik dengan blok cendawan digantung dan disusun rapi membolehkan sudut itu dijadikan ruang khas untuk bergambar bagi pengunjung yang datang.

Lebih menarik apabila spesies cendawan yang dipamer terdiri daripada pelbagai warna menghidupkan suasana seperti di kebun cendawan. Ada warna hitam, putih, kuning bahkan jenis tiram bewarna merah jambu paling dilihat istimewa.

SUDUT utama dikhaskan untuk bergambar dan pameran cendawan.
SUDUT utama dikhaskan untuk bergambar dan pameran cendawan.

Awalnya penulis agak skeptikal dengan keluasan ruang makan memandangkan kebanyakan restoran di sini tidak terlalu mementingkan hal ini.

Namun, sejurus melepasi sudut pameran, ruang belakang restoran yang luas dikhaskan untuk pelanggan menjamu selera.

Selesa dan tenang walaupun pelanggan yang datang tidak putus-putus bermula dari jam 9 pagi hingga 9 malam. Bahkan, di satu sudut lain, fasiliti lengkap disediakan termasuk ruang main kanak-kanak dan ruang solat. Mengagumkan.

Belum habis rasa teruja melihat hiasan dalam restoran, penulis dihidangkan dengan beberapa menu popular di situ yang kesemuanya dimasak menggunakan jenis cendawan berbeza.

Pada mulanya pening untuk memilih masakan, tapi selepas dicadangkan oleh teman, kami memilih beberapa hidangan yang popular.

Tonseng yang seakan-akan gulai dimasak menggunakan cendawan abalon, dihidang bersama rendang cendawan butang yang mana kombinasi rempah dan cara masakan membuatkan tekstur sayuran itu kenyal seperti memakan daging.

 BOTOK iaitu sejenis hidangan  cendawan abalon yang dimasak bersama kelapa parut dan dibungkus dengan daun pisang.
BOTOK iaitu sejenis hidangan cendawan abalon yang dimasak bersama kelapa parut dan dibungkus dengan daun pisang.

Seterusnya, menu istimewa Karedok, campuran lima sayuran mentah termasuk kobis, kacang panjang, timun dan tauge disiram dengan kuah kacang melengkapkan hidangan yang disertakan dengan nasi putih.

Paling mengejutkan apabila penulis memesan minuman es dawat (cendol) yang turut dicampur dengan cendawan shitake di dalamnya. Nampak pelik tapi rasanya sedap luar biasa.

Selesai makan tengah hari, penulis diberi peluang untuk berborak santai dengan pemilik restoran, Ratidjo Hardjo Suwarno, 77, atau lebih mesra disapa Pak Ratidjo berkongsi cerita bagaimana dia bermula.

Katanya, sekitar 2003 dia menjual makanan berasaskan cendawan dimasak isterinya dari rumah ke rumah menaiki motosikal. Kini, dia mampu menarik nafas lega kerana usahanya itu membuahkan hasil. Difahamkan, keluasan restoran itu mampu memuatkan lebih 1,000 pelanggan pada satu-satu masa.

“Selepas berhenti kerja pada 1997, saya terfikir selagi saya masih bekerja di bawah orang lain, hanya mereka yang terus kaya dan saya tetap miskin. Justeru, saya membuka kedai makan kecil-kecilan.

“Waktu itu ramai yang masih takut makan cendawan sebab dikhuatiri beracun. Tapi, lama kelamaan menu saya dapat diterima dan perusahaan mampu berkembang sehingga ke hari ini,” kata Pak Ratidjo menjelaskan bagaimana dia mendapat idea untuk memulakan bisnes sendiri.

MINUMAN unik yang berasaskan cendawan.
MINUMAN unik yang berasaskan cendawan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 2:26 AM