WAN Muhammad Azri membayar ganti rugi kepada Anwar.
WAN Muhammad Azri membayar ganti rugi kepada Anwar.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Blogger Papa Gomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris akhirnya membayar ganti rugi berjumlah RM951,260.30 kepada bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memenangi kes saman fitnah terhadap blogger itu, tiga tahun lepas.

Peguam Irna Shahana Samsudin yang mewakili Wan Muhammad Azri memberitahu pemberita bahawa anak guamnya membayar RM950,000 dalam bentuk bank draf dan RM1,260 dibayar tunai menggunakan wang not RM1 serta 30 sen kepada Anwar ketika pendengaran petisyen kebankrapan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Husna Dzulkifli semalam.

“Esok ditetapkan untuk pengurusan kes bagi pihak Anwar menarik balik petisyen kebankrapan terhadap Wan Muhammad Azri selepas anak guam saya selesai membayar ganti rugi berkenaan,” kata peguam itu yang turut memaklumkan Wan Muhammad Azri sepatutnya membayar ganti rugi RM951,260.27 kepada Anwar.

Anwar memfailkan petisyen kebankrapan terhadap Wan Muhammad Azri pada 30 Jun lepas berikutan kegagalan blogger itu membayar ganti rugi kepada Anwar.

Prosiding di dalam kamar itu dihadiri Wan Muhammad Azri dan peguam Latheefa Koya serta J Leela mewakili Anwar.

Sementara itu, Wan Muhammad Azri berkata, beliau mendapat sumbangan daripada anggota UMNO Bahagian Wangsa Maju dan juga penyokongnya untuk membayar ganti rugi berkenaan kepada Anwar dengan mengadakan kutipan selama tiga bulan.

“Sebelum ini, saya cuba minta kepada peguam yang mewakili Anwar untuk membayar ganti rugi secara ansuran tetapi ditolak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 10:36 AM