LEE Lam Thye
LEE Lam Thye
Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) memuji kejayaan Polis Johor membongkar sindiket yang menghasut orang ramai menjadi ahli pertubuhan haram sebelum ditawarkan Darjah Kebesaran Negeri membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri.

Naib Pengerusi Kanannya Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kejayaan itu bukan saja mampu memberi peringatan tegas kepada mereka yang terbabit dalam jenayah berkenaan, malah memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa mereka juga boleh dikenakan tindakan undang-undang jika membeli dan menggunakan darjah kebesaran palsu.

Beliau dalam kenyataan kepada media semalam berkata, keghairahan sesetengah pihak mendapatkan darjah kebesaran sebenarnya amat membimbangkan kerana mereka dilaporkan sanggup membayar antara RM180,000 hingga RM280,000 bagi mendapatkannya.

“Pendedahan dua anggota sindiket berusia 40 dan 57 tahun itu turut menggunakan panggilan Datuk secara haram juga menunjukkan betapa seriusnya masalah terbabit.

“Kegiatan sindiket sebegini dan keghairahan memiliki darjah kebesaran secara tidak sah sudah pasti akan melunturkan rasa hormat terhadap kemuliaan pingat dan darjah kebesaran yang diterima mereka,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berharap pihak berkuasa akan memantau dengan lebih rapi kegiatan badan bukan kerajaan (NGO) kerana kes terbaru itu menunjukkan suspek menggunakan sebuah NGO berkaitan keselamatan untuk menarik orang ramai menyertainya dengan yuran keahlian antara RM20,000 hingga RM30,000.

Katanya, ahli pertubuhan kemudian ditawar untuk membeli Darjah Kebesaran Negeri dengan harga mencecah ratusan ribu ringgit.

“Orang ramai perlu diingatkan bahawa Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2017 dan Akta Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2017 mula dikuatkuasakan tahun ini.

“Melalui Akta Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2017 yang diluluskan Parlimen November tahun lepas, mereka yang membeli atau cuba untuk menjual anugerah palsu berdepan hukuman sehingga 20 tahun penjara,” katanya.

Katanya, hukuman denda bagi akta itu dinaikkan kepada RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali kepada pesalah yang menyahgunakan lambang dan darjah kebesaran berbanding denda RM1,000 sebelum akta itu dipinda.

Menurutnya, mereka yang terbabit dengan sindiket yang berselindung di sebalik NGO untuk menjual darjah kebesaran palsu juga boleh dikenakan hukuman mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Kanun Keseksaan.

“Bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan, orang awam dinasihatkan melayari laman web protokol Persekutuan www.istiadat.gov.my untuk menyemak senarai daftar semua anugerah di peringkat Persekutuan dan negeri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 4:55 AM