API marak. FOTO Zuhairi Zuber
API marak. FOTO Zuhairi Zuber
Nur Saliawati Salberi


“MUJUR anak-anak selamat, kalaulah suami tak terjaga mungkin perkara lebih buruk menimpa kami sekeluarga,” kata Zainura Wahab, 35, yang tinggal sehelai sepinggang selepas kediamannya di Jalan Putera 1, Felda Bukit Senggeh, Asahan, Jasin rentung dalam kebakaran hari ini.

Kebakaran 7.15 pagi itu mengakibatkan bahagian depan rumah menempatkan dua bilik tidur rentung namun Zainura, bersyukur kerana mereka lima beranak sempat menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Zainura, percaya kebakaran itu bermula dari bilik kosong di kediaman terbabit, namun tidak dapat memastikan punca api mula tercetus.

Katanya, ketika kejadian suaminya Mohd Shukor Yunus, 37, bersama anak kedua dan ketiganya sedang tidur di dalam bilik sama manakala anak sulung berusia lapan tahun menonton televisyen di ruang tamu.

"Selepas bangun saya terus ke dapur untuk sediakan nasi lemak. Tak sampai pun 10 minit kemudian saya dikejutkan dengan jeritan suami yang memberitahu ada api dan minta supaya selamatkan anak-anak.

"Saya kemudian bergegas bantu suami selamatkan anak-anak dan keluar dari rumah. Ketika itu kami hanya fikirkan nyawa langsung tidak sempat capai barangan lain," katanya ketika ditemui, di rumahnya, hari ini.

Menurutnya, dalam keadaan cemas itu suaminya cuba masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil dokumen penting namun usaha itu terbantut berikutan api sudah marak.

Wanita itu berkata, jiran yang dikejutkan jeritan suaminya cuba membantu memadamkan kebakaran namun usaha mereka tidak berjaya dan menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan.

"Akibat kebakaran, rumah kami sekarang sudah tidak boleh dihuni lagi. Buat sementara waktu kami lima beranak menumpang rumah ahli keluarga sebelum usahakan tempat berteduh lain," katanya.

KEADAAN rumah didiami lima beranak selepas kebakaran dipadamkan bomba. FOTO Zuhairi Zuber
KEADAAN rumah didiami lima beranak selepas kebakaran dipadamkan bomba. FOTO Zuhairi Zuber

Sementara itu, jurucakap bomba berkata, dua jentera masing-masing daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin dan BBP Jasin Bestari dikejarkan ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.24 pagi.

"Selain memadamkan kebakaran kami turut mengawal api kerana khuatir boleh merebak ke kediaman berhampiran. “Tidak ada sebarang kecederaan dilaporkan namun kami keluarkan notis supaya keluarga terbabit kosongkan kediaman itu atas faktor keselamatan.

"Unit forensik sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar menyebabkan kebakaran rumah berkenaan dan jumlah kerugian dialami mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 4:40 PM