HENRY (dua dari kanan) melancarkan portal MYDATA SSM International disaksikan Zahrah (kanan).
HENRY (dua dari kanan) melancarkan portal MYDATA SSM International disaksikan Zahrah (kanan).
HM Digital

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melangkah ke satu fasa perkhidmatan menerusi pelancaran portal MYDATA SSM International.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner berkata, portal MYDATA SSM International berfungsi sebagai enjin carian maklumat perniagaan di 130 negara yang tersenarai.

“Sistem yang pertama di Asia ini dihubungkan dengan 180 pendaftar di seluruh dunia meliputi 80 juta data syarikat.

“Ia membolehkan pengguna tempatan dan luar negara melakukan carian mengenai syarikat perniagaan dan maklumat yang diperoleh adalah tepat,” katanya pada sidang media majlis perasmian MYDATA-SSM International di Menara SSM, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Henry Sum Agung, Pengerusi SSM Datuk Seri Jamil Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Big DataWorks Sdn Bhd (Big DataWorks), Sheriza Zakaria.

Menurut Zahrah, portal MYDATA SSM International berpotensi menarik lebih ramai pelabur luar negara untuk mengembangkan perniagaan di Malaysia dan begitu juga sebaliknya.

“Banyak syarikat dan usahawan luar negara ingin bekerjasama dengan syarikat tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 5:42 AM