DZULKIFLI (kanan) bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (dua dari kanan) merasmikan mural pencegahan rasuah.
DZULKIFLI (kanan) bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (dua dari kanan) merasmikan mural pencegahan rasuah.
Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Lebih ramai individu termasuk pegawai di Kementerian Sumber Manusia mungkin dipanggil untuk beri keterangan kes penyelewengan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bernilai RM40 juta.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, pihaknya akan meneliti semua keterangan yang diperoleh setakat ini terutama daripada menteri dan setiausaha politiknya yang dipanggil untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Menurutnya, siasatan masih dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum tindakan lanjut diambil termasuk pendakwaan.

“Pagi tadi (semalam) SPRM sudah panggil menteri berkenaan untuk dirakamkan percakapan dan kita akan meneliti keterangan setiausaha politik dan menteri berkenaan.

“Sekiranya ada keperluan lagi, SPRM akan memanggil individu lain yang berkaitan bagi membantu siasatan,” katanya selepas Program Kembara Jelajah Anti Rasuah (KEJAR ‘17) Sempena Ulangtahun BPR/SPRM Ke-50 di Pejabat SPRM Perak, semalam.

Dzulkifli berkata, setakat semalam Menteri berkenaan hanya dipanggil untuk memberi keterangan dan terpulang kepada siasatan di mana jika ada keperluan untuk memanggilnya semula, pihaknya akan berbuat demikian.

“Jika ada keperluan, lebih ramai akan dipanggil untuk memberi keterangan termasuk pegawai dari kementerian sama untuk SPRM melengkapkan kertas siasatan.

“Kita tengok dulu keadaan, semestinya akan ada (pegawai lain) dipanggil untuk siasatan kerana secara normal, semua dokumen berada di kementerian di mana proses biasa sesuatu kelulusan itu akan membabitkan bukan seorang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2017 @ 5:57 AM