Zulfa Mohamad


SETIAUSAHA Politik kepada seorang Menteri menjadi individu terbaru ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan dana kerajaan RM40 juta.

Individu berusia 61 tahun itu yang juga ahli sebuah parti politik ditahan 12.30 tengah hari ini ketika memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.

Dia adalah individu kelima ditahan SPRM selepas empat orang ditahan pada 13 September lalu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, siasatan bagi tangkapan terbaru itu akan dijalankan mengikut Seksyen 17 Akta SPRM.

"Empat lelaki yang ditahan sebelum ini sudah dibebaskan dan siasatan akan tertumpu pada individu terbaru ditahan hari ini," katanya.

Terdahulu Dzulkifli merasmikan program Kembara Jelajah Anti Rasuah (KEJAR 17) di Sekolah Kebangsaan Hashim Awang, Kepala Batas yang juga bekas sekolah beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 3:56 PM