TOMOYUKI (kiri), Tan dan Yogi (kanan) melancarkan Mitsubishi Outlander 2.0L AWD CKD di TCMA Segambut. FOTO Mohd Razlan Salleh
TOMOYUKI (kiri), Tan dan Yogi (kanan) melancarkan Mitsubishi Outlander 2.0L AWD CKD di TCMA Segambut. FOTO Mohd Razlan Salleh
Mohd Razlan Salleh


PENGENALAN model Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) Mitsubishi Outlander 2.0L pemasangan tempatan (CKD) mampu melonjakkan jualan model itu di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), Tomoyuki Shinnishi berkata, model SUV premium berkenaan akan dipasang di Kilang Pemasangan Tan Chong Motors (TCMA).

"Hasil kerjasama dengan rakan sekutu Mitsubishi membolehkan kami memasang kenderaan secara CKD dengan tawaran harga lebih kompetetif.

"Ini adalah model kedua dipasang di TCMA selepas Mitsubishi ASX pada 2014," katanya ketika sidang media di TCMA Segambut, hari ini.

Hadir sama CEO Warisan Tan Chong Motor Holdings Tan Keng Meng dan Ketua Pakar Produk Mitsubishi Motors Corporation (MMC) Japan Yoji Otani.

Tomoyuki berkata, proses pemasangan varian terbaharu itu dipantau jurutera Mitsubishi dari Jepun dan memberi jaminan kualiti model CKD berkenaan sama seperti model 2.4L diimport sepenuhnya (CBU) yang dilancarkan tahun lalu.

"Varian 2.4L AWD masih dijual dan kekal sebagai model CBU," katanya.

Terdahulu, Mits ubishi Outlander 2.0L AWD DOHC MIVEC menawarkan kuasa 145 PS dengan 196 Nm tork, dipadankan bersama transmisi CVT INVECS-III.

SUV tujuh tempat duduk ini hadir bersama tujuh beg udara, Sistem Brek Anti Kunci (ABS), Agihan Daya Brek Elektronik (EBD), Kawalan Cengkaman dan Kestabilan Aktif (ASTC) dan Bantuan Mula Mendaki (HSA).

Ciri standard lain termasuklah butang penghidup enjin, skrin sentuh infotainment 7 inci, Lampu Nyalaan Siang (DRL), rim 18 inci selain ruang penyimpanan barang seluas 1,608 liter.

Mitsubishi Outlander 2.0L AWD CKD ditawarkan pada harga RM139,988 tanpa insurans bersama jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.

Tiga warna ditawarkan antaranya merah, putih dan hitam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 11:58 AM