Kamalanathan (tengah) bersama Yang (tiga dari kiri) dan Janson (tiga dari kanan) melancarkan Hari Teddy Bear Sedunia di KL Gateway. FOTO Idris Musa
Kamalanathan (tengah) bersama Yang (tiga dari kiri) dan Janson (tiga dari kanan) melancarkan Hari Teddy Bear Sedunia di KL Gateway. FOTO Idris Musa
Idris Musa


IBU bapa disaran terus memberikan sokongan dan dorongan kepada anak yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) supaya mereka tidak tertekan dan dapat membuat yang terbaik.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan berkata, yang penting ialah ibu bapa harus terus memberikan sokongan dan dorongan kepada anak mereka.

Menurutnya, guru juga haruslah berada di tempat peperiksaan kerana masih ada ruang sekiranya ada murid yang tampil di saat akhir untuk mendapatkan nasihat dan penjelasan sekali gus berasa lebih selesa untuk menduduki peperiksaan.

“Saya mengucapkan selamat berjaya kepada anak kita, murid kita yang akan menduduki peperiksaan UPSR esok. Kita di kementerian termasuk Menteri Pendidikan (Datuk Seri Mahdzir Khalid) dan semua pimpinan berdoa agar calon membuat yang terbaik kerana ini masa depan mereka.

“Jangan risau, jangan khuatir, jangan gopoh dan jangan rasa tertekan, kerana semua persiapan saya pasti dilaksanakan. Saya pasti mereka juga dapat datang awal.

“Enam tahun kita di sekolah rendah, guru memainkan peranan yang penting. Semua ini adalah kunci kejayaan dan sama-sama kita berdoa agar anak kita di mana juga mereka berada akan menduduki peperiksaan dengan rasa hati selesa, tabah dan akan berjaya nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Teddy Bear Sedunia di KL Gateway Mall, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Projek Suez Capital Sdn Bhd Yang Kian Joo dan Pengasas The Giving Bank Dr Janson Ang Chee Wee.

Peperiksaan UPSR yang berlangsung dari 11 hingga 18 September tahun ini membabitkan seramai 443,794 calon di 8,085 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Seramai 51,363 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar seperti dijadualkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 4:15 PM