TERTUDUH dibawa anggota SPRM di Mahkamah Sesyen. FOTO ihsan SPRM
TERTUDUH dibawa anggota SPRM di Mahkamah Sesyen. FOTO ihsan SPRM
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PENIAGA salun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban, di sini hari ini atas dua pertuduhan menawarkan suapan kepada anggota Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengeluarkan kad pengenalan kepada anak angkatnya, dua tahun lalu.

Tertuduh, Lai Loi Yow, 60 membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Noor Hayati Mat sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, Lai didakwa menawarkan suapan berjumlah RM7,000 hingga RM8,000 kepada anggota JPN Seremban, Shahrul Izan Kamarudin sebagai dorongan mengeluarkan kad pengenalan kepada anak angkat, Yap Kea Shin, 16 yang tidak boleh proses kerana terdapat keraguan mengenai hubungan kekeluargaan.

Perbuatan itu dilakukannya di pejabat JPN Seremban antara 8 hingga 19 November 2015.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memberikan suapan berjumlah RM700 kepada anggota terbabit bagi melakukan perkara itu di sebuah restoran makanan segera di Jalan Tuanku Munawir, di sini jam 1.10 tengahari pada 19 November 2015.

Kedua-dua pertuduhan terbabit mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mendengar pengakuan tidak bersalah, Noor Hayati memerintahkan kes disebut semula pada 6 Oktober depan dan menawarkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2017 @ 6:44 PM