AHMAD Faiz yang berkerusi roda dibantu penuntut baru yang lain di sesi pendaftaran di UniSZA. FOTO Aslina Abu Bakar
AHMAD Faiz yang berkerusi roda dibantu penuntut baru yang lain di sesi pendaftaran di UniSZA. FOTO Aslina Abu Bakar
Ahmad Rabiul Zulkifli


REMAJA lelaki yang juga pengidap Cerebral Palsy (CP) antara 1,416 penuntut baru yang mendaftar di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Gong Badak, Kuala Nerus pada hari ini.

Ahmad Faiz Ibrahim, 19, yang juga pelajar terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Peringkat Kebangsaan selepas memperolehi 10 Mumtaz mendaftar dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Usuluddin) pada Sesi Pendaftaran Kemasukan Pelajar Baru Ijazah Sarjana Muda 2017 dan 2018 di universiti berkenaan.

Remaja berkenaan yang berkerusi roda ditemani ibunya, Zarina Mohd Kasim, 43, dan bapanya, Ibrahim Yunus, 48, di sesi pendaftaran terbabit.

Sementara itu, Timbalan Naib Cancelor Hal Ehwal Pelajar dan Alumnai UniSZA, Prof Dr Nik Wan Omar berkata, pihaknya mensasarkan 1,800 penuntut yang akan mendaftar pada hari ini.

"Kami bertuah kerana Ahmad Faiz menyambung pengajiannya di UniSZA kerana kita tahu dia adalah pelajar cemerlang dan pihak kami akan membantunya dengan memberikan segala kemudahan yang bersesuaian untuknya.

"Sehingga kini, terdapat 10 pelajar orang kurang upaya (OKU) menuntut di universiti ini dan pelbagai kemudahan yang bersesuaian dengan mereka disediakan di dewan kuliah dan asrama," katanya.

Foto ASLINA ABU BAKAR

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 12:44 PM