LOO didakwa atas tujuh pertuduhan babit tuntutan palsu  RM478,715.
LOO didakwa atas tujuh pertuduhan babit tuntutan palsu RM478,715.
Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam terhadap 11 pertuduhan membuat tuntutan palsu bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bernilai RM745,838 bermula Oktober 2015 hingga Mei 2016.

Loo Peng Wah, 50, didakwa dengan tujuh pertuduhan membabitkan jumlah RM478,715 dari Oktober 2015 hingga April tahun lalu manakala isterinya Ng Lee Foon, 45, didakwa atas empat tuduhan babit tuntutan RM267,123 bermula Januari hingga Mei 2016.

Kedua-duanya dituduh mengikut Seksyen 89 (1)(b), Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum 20 kali ganda daripada amaun cukai atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Pasangan terbabit didakwa melakukan kesalahan itu di Stesen Ipoh, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jalan Tun Abdul Razak, di sini.

Suami isteri itu yang diwakili peguam Awtar Singh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dan minta dibicarakan.

Pertuduhan dijalankan Pegawai Pendakwa JKDM, S Thanganatchya di hadapan Hakim S Indra Nehru dan dibacakan kepada tertuduh dalam bahasa Kantonis oleh jurubahasa mahkamah.

Indra Nehru mengenakan jaminan keseluruhan RM220,000 iaitu RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin bagi suami isteri terbabit berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melapor diri sekali sebulan di mana-mana pejabat JKDM terdekat hingga kes berkenaan selesai.

Beliau kemudian menetapkan sebutan semula dan pengurusan dokumen bagi semua kes pada 4 Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2017 @ 4:36 AM