ABU  Bakar  bersama isteri dan lima anak serta seorang menantu perempuan turut terpilih ke Tanah Suci.
ABU Bakar bersama isteri dan lima anak serta seorang menantu perempuan turut terpilih ke Tanah Suci.
Nasharuddin Muhammad


Makkah: “Saya anggap ini anugerah terbesar diberikan Allah SWT sempena persaraan saya,” kata Abu Bakar Mohd Yusof, 60.

Betapa tidak, dua hari selepas persaraan pada awal Mei lalu, dia menerima surat tawaran menunaikan ibadat haji daripada Lembaga Tabung Haji (TH).

Kegembiraannya berganda apabila bukan hanya dia dan isteri, Faridah Adam, 58, yang menerima tawaran menjadi tetamu Allah, malah lima anak serta seorang menantu perempuan turut terpilih ke Tanah Suci.

“Alhamdulillah, semua ini rezeki daripada Allah untuk kami anak-beranak dapat berangkat ke Tanah Suci,” kata pesara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berasal dari Batu Pahat, Johor itu.

Lima anak Abu Bakar yang berangkat ke Tanah Suci ialah Muhammad Amir Fitri, 29, Nur Ain Natasah, 26, Nur Jannatul Ain, 25, Nur Ain Nabilah, 23, dan Muhammad Amir Firdaus, 18, serta menantu, Nur Farhana Mohd Razali, 31.

Menurutnya, itulah anugerah Allah paling besar diperoleh dirinya dan ahli keluarga sempena persaraannya.

“Hari ini (Sabtu) saya bersara, pada Isnin, kami dapat surat tawaran dihantar posmen daripada TH untuk menunaikan haji,” katanya ketika ditemui wartawan Malaysia di maktab penginapannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 6:20 AM