ROHANI (dua kiri) merasmikan Kempen Menangani Keganasan Terhadap Wanita. FOTO Mohd Azren Jamaludin
ROHANI (dua kiri) merasmikan Kempen Menangani Keganasan Terhadap Wanita. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memohon tambahan dua lagi Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-Kanak khusus di Sabah dan Sarawak, selain daripada dua yang dirancang dibuka tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, setakat ini, Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-Kanak hanya berada di Putrajaya dan menjelang kahir tahun ini, mengikut perancangan terdapat dua lagi yang akan dibuka di dua negeri yang belum boleh diumumkan.

Bagaimanapun, melihat kepada statistik kes membabitkan jenayah terhadap kanak-kanak yang tinggi, malah ia juga berlaku di Sabah dan Sarawak, beliau berkata, pihaknya mahu dua negeri itu diberi keutamaan juga.

"Saya tahu dalam perancangan terdapat dua mahkamah khas ini yang akan dibuka, tetapi saya mohon ia turut dibuka di Sabah dan Sarawak, jadi saya mohon dua negeri ini ditambah dalam perancangan dua yang awal itu untuk pembukaan bagi tahun ini.

"Kita mahu dipercepatkan pembukaan mahkamah khas ini di negeri-negeri kerana satunya adalah berdasarkan statistik kes jenayah ini yang tinggai khususnya di Sabah dan Sarawak," katanya ketika sidang media selepas majlis pelancaran 'Tribute to Women Malaysia' dan kempen 'Redlips Don't Talk Nonsense - Empower and Act Now!' di Pusat Konvensyen Antarabangsa PERSADA Johor, hari ini.

Beliau berkata, sejak dilancarkan pada 4 Julai lalu, Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-Kanak sudah mencatatkan lebih 60 kes yang dikendalikan termasuk yang menunggu perbicaraan.

Katanya, kes di mahkamah itu akan berlangsung setiap hari dan ia akan mepercepatkan proses pengendalian kes yang mebabitkan jenayah terhadap kanak-kanak.

"Untuk mengadili kes-kes seperti ini, mahkamah biasa dilihat tidak berapa sesuai kerana kanak-kanak yang menjadi mangsa ini biasanya mereka akan trauma ketika dibawa ke mahkamah.

"Jadi, mahkamah yang ada sekarang ini perlu diubah suai sedikit supaya ia lebih mesra kanak-kanak dan mangsa selesa untuk memberikan keterangan.

"Seperti yang ada sekarang ini, di mahkamah akan ditempatkan capaian video yang mana mangsa tidak akan nampak tertuduh, tetapi hakim masih boleh berhubung dengan kedua-dua pihak itu.

"Ia akan memberi lebih keselesaan kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 7:47 PM