IMIGRESEN Selangor menahan 42 warga asing dalam Op Ikrar di tapak pembinaan Bandar Sierra 16, Puchong.
IMIGRESEN Selangor menahan 42 warga asing dalam Op Ikrar di tapak pembinaan Bandar Sierra 16, Puchong.
HM Digital

Shah Alam: Bersalin sendiri di rumah kongsi. Itu yang ditemui anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen (JIM) Selangor dalam Op Ikrar awal pagi semalam di tapak pembinaan Bandar Sierra 16, Puchong, dekat sini.

Dalam operasi dari jam 1 hingga 3 pagi itu penguat kuasa menemui bayi berusia dua minggu yang dilahirkan di rumah kongsi tanpa mendapatkan rawatan di hospital.

Ini kerana ibu bayi yang masih berpantang itu bimbang bersalin di hospital bagi mengelak identitinya diketahui seterusnya ditahan kerana tidak memiliki pasport sah.

Bagaimanapun dalam operasi berkenaan, ibu serta bayi itu bersama 40 warga asing lain ditahan.

Ketua Unit Ops JIM Selangor, Jaimin Sumpit berkata, 42 warga asing itu ditahan kerana tidak mempunyai pas perjalanan sah, tinggal lebih masa dan disyaki memalsukan dokumen.

Beliau berkata, mereka yang ditahan itu terdiri daripada tujuh bayi dan kanak-kanak berusia dua minggu hingga enam tahun, 20 lelaki serta 11 wanita yang semuanya warga Indonesia, dua lelaki Pakistan dan masing-masing satu lelaki Bangladesh dan Nepal.

“Ketika serbuan penguat kuasa menemui bayi serta enam kanak-kanak dan mereka tidak mempunyai dokumen kelahiran.

“Ibu itu didapati melahirkan anak di rumah kongsi kerana takut bersalin di hospital. Jika dibiarkan masalah ini tidak akan selesai, mereka akan terus beranak pinak asalkan dapat tinggal di negara ini untuk mencari rezeki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 6:59 AM