Asrizal Aris


SEORANG pendatang asing dipercayai tanpa izin dari Bangladesh menyangka berjaya melarikan diri dengan menaiki bas namun terkejut apabila anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengejar bas itu dan menariknya keluar ketika cuba menyorok di celah penumpang.

Lelaki berkenaan sebelum itu, merakam video rakan-rakannya ditahan dalam ketika Operasi Bersepadu JIM dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Silang, Kuala Lumpur, hari ini, sebelum melarikan diri menaiki bas. 

Lelaki berusia 30-an itu merayu sehingga memegang kaki anggota JIM meminta dilepaskan.

Selepas membuat pemeriksaan, lelaki berkenaan didapati tiada dokumen perjalanan yang sah dan sudah berada di ibu negara sejak lebih lima bulan lalu.

Selain tindakan lelaki itu, pelbagai gelagat warga asing dapat disaksikan, termasuk yang lari lintang pukang sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa JIM dan DBKL.

Seorang lelaki warga asing yang melarikan diri ketika mahu diperiksa anggota JIM wanita menerima padah apabila cedera di tangan dan kaki akibat terjatuh.

Pendatang asing yang tiada dokumen dan melakukan kesalahan imigresen dibawa naik lori.  - Foto SAIFUL ISKANDAR
Pendatang asing yang tiada dokumen dan melakukan kesalahan imigresen dibawa naik lori. - Foto SAIFUL ISKANDAR

Beberapa warga asing yang ditahan memberi alasan dokumen mereka tertinggal atau hilang.

Dalam operasi bermula 3 petang itu, 235 warga asing diperiksa dan 55 daripadanya ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen. DBKL turut merampas barangan jualan di beberapa premis sekitar Jalan Silang yang melakukan kesalahan membabitkan nilai rampasan lebih RM2,000.

Semua PATI terbabit disiasat mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tinggal lebih masa dan kesalahan mengikut Peraturan 39(b), Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalah guna pas lawatan.

Keterangan Gambar

Pix : Antara warga asing yang ditahan dalam operasi berkenaan.
tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 11:12 PM
Pendatang asing dikumpulkan untuk pemeriksaan dokumen. - Foto SAIFUL ISKANDAR
Pendatang asing dikumpulkan untuk pemeriksaan dokumen. - Foto SAIFUL ISKANDAR