Pengguna perlu membayar 20 sen bagi setiap beg plastik berikutan kempen 'Bebas Beg Plastik' di Selangor.
Pengguna perlu membayar 20 sen bagi setiap beg plastik berikutan kempen 'Bebas Beg Plastik' di Selangor.
BERNAMA

SEBANYAK RM1.87 juta dikutip daripada orang ramai menerusi caj 20 sen bagi setiap beg plastik sejak kerajaan Selangor melaksanakan kempen 'Bebas Beg Plastik' bermula 1 Januari lalu.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna negeri Elizabeth Wong memberitahu Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini, kutipan itu hanya membabitkan pasar raya dan premis makanan yang memaklumkan menerusi laporan data kutipan caj 20 sen dari Januari hingga Mei, kepada kerajaan negeri menerusi persatuan peniaga masing-masing.

"Daripada jumlah itu, 63.98 peratus kutipan membabitkan peniaga pasar raya manakala selebihnya peniaga premis makanan," katanya menjawab pertanyaan lisan Lee Kee Hiong (DAP-Kuala Kubu Baharu) yang bertanya mengenai statistik kutipan 20 sen beg plastik yang diperoleh peniaga menerusi pelaksanaan kempen 'Bebas Beg Plastik' di Selangor.

Menjawab soalan Lee mengenai kos pelaksanaan kempen berkenaan, Wong (PKR-Bukit Lanjan) berkata sehingga 30 Jun lalu, kerajaan negeri membelanjakan RM213,678.30 termasuk bagi pembelian poster, pembelian bunting dan pembelian beg ‘non woven’.

Sebelum ini, Wong berkata caj 20 sen yang dikenakan bagi setiap beg plastik selaras dengan kempen 'Bebas Beg Plastik' di Selangor, menyebabkan pelbagai pihak mengkritik tindakan itu kerana menganggapnya sebagai membebankan orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2017 @ 7:49 PM