Gambar fail kejadian samun di kedai serbaneka.
Gambar fail kejadian samun di kedai serbaneka.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


KEDAI serbaneka 24 jam di Simpang Empat di Kangar, disamun seorang lelaki jam 3.30 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, ketika kejadian itu, dua kakitangan berusia 20 dan 25 tahun yang sedang menyusun air didatangi seorang lelaki memakai baju panas berhud berwarna hijau pudar dan menutup mukanya dengan sarung tangan.

"Suspek kemudian mengacu 'pisau rambo' kepada mangsa berusia 20 tahun dan mengarahkannya supaya tidak membuat bising sebelum menariknya ke bahagian kaunter bagi mengeluarkan wang tunai di dalam laci.

"Mangsa yang terkejut dengan tindakan suspek hanya menuruti arahan dan menyerahkan wang tunai RM130 yang berada di dalam laci kaunter," katanya.

Wari berkata, selepas meneliti rakaman terbabit, tidak sampai seminit yang diperlukan suspek untuk merompak mangsa sebelum beredar dengan menaiki motosikal jenis Honda EX5 yang diletakkan berhampiran kedai berkenaan.

"Kita percaya suspek bertindak bersendirian ketika menyamun kedai terbabit dan pihak polis masih meneliti rakaman kamera litae tertutup (CCTV) kedai berkenaan bagi mengecam suspek," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2017 @ 12:52 PM