Nurul Hidayah Bahaudin

nurul.hidayah.com.my

LIMA sekeluarga berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki terbakar di Kilometer 15, Jalan Goh Tong Jaya, Hulu Selangor, hari ini.

Anggota Unit Bantuan Kecemasan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Shukor Hashim berkata, dalam kejadian 12.30 hari itu, mangsa, Amran Samdi, 31, bersama empat lagi ahli keluarganya termasuk dua kanak-kanak dikatakan dalam perjalanan dari Bukit Beruntung menghala ke Genting Highlands.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa mendapati asap keluar dari bahagian enjin dan memberhentikan kenderaan itu di tepi jalan.

"Pemeriksaan mangsa mendapati api di bahagian bawah enjin dan dia mengarahkan ahli keluarganya turun dari kenderaan berkenaan," katanya.

Shukor berkata, mangsa cuba memadamkan kebakaran itu menggunakan alat pemadam api dihulurkan oleh pemandu teksi dan bas yang berhenti bagi membantunya.

"Namun, usaha mangsa gagal. Malah, api semakin marak dan membakar keseluruhan kereta itu," katanya yang memaklumkan semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kebakaran dipadamkan sepenuhnya beberapa minit selepas anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands tiba di lokasi kejadian pada 12.45 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2017 @ 9:10 PM