BERNAMA

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani mendapati tiada bendasing plastik dijumpai dalam beras cap Rambutan Super Special Tempatan Lima Peratus berdasarkan keputusan ujian awal yang dilakukan.

Kementerian itu berkata, pemeriksaan dan siasatan terhadap kilang beras jenama berkenaan di Mergong, Alor Setar, itu dilakukan susulan video tular yang mendakwa beras berkenaan sebagai beras plastik.

“Beberapa siri ujian dijalankan seperti ketahanan beras, ujian iodin bagi menguji kandungan kanji serta ujian bakar dan masak,' katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun katanya, sampel beras juga dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis lanjut.

Kenyataan itu menyebut hasil pemeriksaan mendapati tidak terdapat kelengkapan mesin untuk menghasilkan beras plastik di premis terbabit.

Kementerian itu berkata, syarikat berkenaan juga memperoleh bekalan beras dari sumber sah iaitu petani dan pengilang tempatan.

“Siasatan dan pemeriksaan yang sama akan dijalankan di kilang pengeluar di Perak pada 19 Jun (esok),” kata kenyataan itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan perkara itu boleh menghubungi Pejabat Kawal Selia Padi di setiap negeri bagi memastikan siasatan dapat dijalankan serta mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2017 @ 10:26 PM