Ummi Kalthom bersama Sofea Qaisara Shafiq Khuzairil yang disahkan Dandy Walker Syndrom. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Ummi Kalthom bersama Sofea Qaisara Shafiq Khuzairil yang disahkan Dandy Walker Syndrom. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A'isyah Sukaimi


“ALHAMDULILLAH, bantuan yang diberikan itu sekurang-kurangnya dapat meringankan perbelanjaan saya dalam menyediakan keperluan untuk Alang.

“Selama ini, saya seorang diri menanggung perbelanjaan dan keperluan anak dan saya ucapkan terima kasih atas bantuan yang diberikan," kata Ummi Kalthom Ayub, 37, mengenai bantuan kepada anak keduanya, Sofea Qaisara Shafiq Khuzairil berusia lima tahun yang disahkan mengidap Dandy Walker Syndrom.

Menerusi akaun Twitter Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam, beliau menyatakan supaya kanak-kanak itu dirujuk kepada pakar hospital kerajaan, diberi bantuan bulanan RM300 dan bekalan lampin setahun.

Beliau bertemu dengan Ummi Kalthom serta anaknya dalam satu majlis bersama 21 orang kurang upaya (OKU) di Bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya, semalam.

Dalam pada itu, Ummi Kalthom yang bekerja sebagai pembantu operasi di MyFarm Outlet Putrajaya berkata, anaknya mengidap sindrom berkenaan sejak dilahirkan malah, Sofea Qaisara turut mengalami masalah penglihatan selain tidak boleh berjalan seperti biasa.

"Pakar perubatan yang merawatnya sebelum ini memaklumkan, sindrom ini jarang berlaku dan tidak sampai 10 orang disahkan mengalaminya di negara ini.

"Alang juga mengalami masalah rabun teruk dengan bacaan 200 dan 600 tetapi, dia tidak mahu memakai cermin mata khas mungkin kerana tidak selesa sedangkan, jika sentiasa memakainya ia dapat membantu penglihatan Alang," katanya ketika ditemui Harian Metro di Putrajaya.

Ummi Kalthom berkata, setiap bulan, anaknya turut menerima bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) malah, dia turut menghantar Sofea Qaisara mengikuti modul khas di Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Permata Hati Presint 11 Putrajaya.

Katanya, selain lampin pakai buang, anaknya turut memerlukan susu khas bagi membantu pertumbuhan tubuh badan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 6:39 PM