SHAHIDA  menyediakan menu masakan Melayu yang menjadi tarikan pengunjung menjelang tibanya bulan puasa.
SHAHIDA menyediakan menu masakan Melayu yang menjadi tarikan pengunjung menjelang tibanya bulan puasa.
Siti Fatimah Nasir


Kuala Lumpur: Berkat dua anak membantunya menjual juadah masakan Melayu di Bazar Ramadan Wangsa Delima, dekat sini, perniagaan yang pada mulanya hanya sekadar suka-suka, menjadi tarikan pengunjung setiap kali tibanya bulan puasa.

Malah, Hamidah Razali, 59, bersama keluarganya turut membuka sebuah restoran masakan Melayu di Taman Melati, Gombak.

Anak perempuannya, Shahida Mulop, 35, berkata, semua resipi masakan Melayu di restoran mahupun di bazar Ramadan adalah datang daripada air tangan ibunya.

“Antara juadah yang paling digemari orang ramai di sini adalah menu Asam Pedas Ikan Kembung bersama nasi lemak dengan kepelbagaian lauk masakan Melayu.

“Di restoran, orang ramai akan datang untuk mencuba resipi asam pedas yang dimasak oleh ibu manakala di bazar Ramadan, menu nasi lemak bersama lauk antara yang berjaya memikat hati pengunjung setiap kali mereka datang ke bazar ini,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Wangsa Delima, di sini.

Shahida antara peniaga yang terbabit dalam program 5by20 di bawah inisiatif Komuniti Usahawan Coca-Cola (CocaCola KU).

Memahami kepentingan program ini, Coca-Cola KU telah memulakan komitmen secara global untuk memperkasakan lebih 5 juta usahawan wanita menjelang tahun 2020 melalui program ini.

Menurutnya, dia tidak menyangka menu nasi lemak yang pada awalnya hanya untuk dicuba pada hari pertama membuka gerai di bazar mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung.

“Dalam sehari, saya mampu menjual 40 nasi lemak yang akan habis sebelum jam 7 malam di bazar Ramadan ini.

“Tempoh penyediaan semua masakan Melayu ini mengambil masa selama tiga jam bermula pada 12 tengah hari,” katanya.

Katanya, di restoran, dia dan adik lelakinya, Syahfadhil Mulop, 28, akan turut membantu ibu dalam menyediakan menu masakan Melayu di sini dan juga di bazar Ramadan.

“Menu nasi lemak di gerai pasti tidak lengkap jika tidak ada lauk seperti ayam kari, ayam sambal, ikan goreng, ayam goreng, tempe, tauhu, asam pedas, sayur campur dan sambal ikan keli.

“Sebagai anak, saya sentiasa memberi sokongan terhadap perniagaan ibu di samping turut bekerja dengannya supaya dapat mewarisi resipi turun temurun daripada keluarga yang sudah mencecah lebih 25 tahun,” katanya.

Banyak gerai makanan dan minuman di bazar yang dikendalikan oleh usahawan wanita dan sebahagian daripada mereka adalah peserta program Coca-Cola KU.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2017 @ 1:05 AM