Idris Musa


TINDAKAN menggali semula kubur murid madrasah tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi terpaksa dibuat bagi membolehkan pakar patologi forensik melakukan pemeriksaan menyeluruh sebelum mengumumkan keputusan dalam tempoh terdekat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, pemeriksaan perlu dilakukan dari pelbagai sudut bagi mendapatkan lebih banyak maklumat.

"Selepas membuat bedah siasat (sebelum ini), doktor pakar ada beberapa penemuan terhadap punca kematian tetapi masih tidak berapa puas hati dengan bukti sedia ada.

“Jadi, mereka lihat kepada pemeriksaan yang dilakukan terhadap kaki yang dibedah sebelum ini. Tetapi kaki itu sudah dikuburkan lebih awal,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Jubli Emas Persatuan Ortopedik Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Beliau berkata, pasukan pakar patologi forensik yang menjalankan siasatan tidak puas hati dengan bukti dan maklumat sedia ada.

"Jadi mereka minta menggali semula kubur supaya pemeriksaan boleh dijalankan. Itulah sebabnya," katanya.

Mohamad Thaqif Amin, 11, meninggal dunia pada 26 April lalu.

Kuburnya digali semula semalam selepas permohonan dibuat pihak hospital susulan punca sebenar kematiannya belum dikenal pasti.

Allahyarham didakwa dipukul dengan paip getah pada tapak kaki sehingga menyebabkan kakinya dipotong pada 21 April lalu, dipercayai akibat jangkitan kuman.

Tangan kanannya yang turut dijangkiti kuman sepatutnya dipotong pada pagi 26 April tetapi ditangguhkan berikutan keadaan jantungnya tidak stabil sebelum dia disahkan meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 5:34 PM