APMM menahan dua bot nelayan tempatan bersama empat kru warga Myanmar kerana melanggar syarat lesen di kedudukan 8 batu nautika dari barat Pulau Talang.
APMM menahan dua bot nelayan tempatan bersama empat kru warga Myanmar kerana melanggar syarat lesen di kedudukan 8 batu nautika dari barat Pulau Talang.
myMetro

Lumut: ‘Lebih mudah dan lebih murah’. Itu dakwaan pemilik bot nelayan tempatan yang memberikan alasan menggunakan khidmat warga asing di atas bot mereka biarpun menyedari ia melanggar syarat lesen.

Alasan itu diberikan pemilik bot dalam kejadian Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), menahan dua bot nelayan tempatan bersama empat kru warga Myanmar kerana melanggar syarat lesen di kedudukan 8 batu nautika dari barat Pulau Talang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 pagi, dua bot nelayan yang berpangkalan di Pantai Remis, dekat Manjung itu ditahan ketika menangkap ikan secara berasingan.

Difahamkan, pemilik bot itu mengaku salah kerana menggaji pekerja warga asing, namun mengaku berbuat demikian atas alasan kesukaran mendapatkan pekerja tempatan.

Malah, dikatakan juga bayaran yang diberikan kepada warga asing lebih murah berbanding warga tempatan dan semua warga asing yang ditahan baru beberapa bulan bekerja di sini.

Pengarah Maritim Daerah 3 Lumut Kepten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata, pihaknya melalui Kapal Maritim Nyalau menahan bot itu dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan rondaan dan penguatkuasaan di perairan negara.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati bot itu yang juga bot kelas B menjalankan aktiviti menangkap ikan dengan menggaji warga asing dan mengikut syarat, hanya bot kelas C dan ke atas saja dibenar menggunakan khidmat warga asing.

“Anggota kami mendapati bot berkenaan menjalankan aktiviti menangkap ikan yang melanggar syarat yang dinyatakan dalam lesen.

“Malah, pemeriksaan lanjut turut mendapati empat warga asing membabitkan dua tekong dan dua awak-awak berusia antara 17 hingga 37 tahun itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya, semalam.

Menurutnya, bot bersama semua warga asing itu diiringi ke Jeti Kampung Acheh, Sitiawan untuk meneruskan siasatan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata, pihaknya akan bertindak tegas terhadap bot nelayan tempatan yang didapati melanggar syarat lesen menangkap ikan dan menggaji warga asing tanpa kebenaran, selain tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 2:34 AM