Mangsa dirawat di Hospital Besut selepas putus dua jari kanan tangan selepas bot pelancong dinaikinya berlanggar dengan bot nelayan di muara Kuala Besut, petang semalam. FOTO ihsan PDRM
Mangsa dirawat di Hospital Besut selepas putus dua jari kanan tangan selepas bot pelancong dinaikinya berlanggar dengan bot nelayan di muara Kuala Besut, petang semalam. FOTO ihsan PDRM
Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI yang dalam perjalanan pulang daripada bercuti di Pulau Perhentian putus dua jari kanan tangannya apabila bot pelancong dinaikinya berlanggar dengan bot nelayan di muara Kuala Besut, Jertih, 4.45 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, pemandu bot berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar sebuah bot nelayan yang berlabuh di kawasan muara berkenaan.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan mangsa yang berusia 29 tahun putus jari manis dan hantu manakala empat penumpang lain tidak mengalami kecederaan.

"Pemandu bot berusia 49 tahun turut cedera di kepala, sakit di pergelangan tangan, dada dan kaki kirinya.

"Mereka kemudiannya dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut sebelum pemandu bot terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut untuk diambil keterangan berkaitan insiden terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2017 @ 6:36 PM