Suspek disyaki menikam dua pekerja asing di rumah pekerja di Ladang Sungai Sabang, Sugut, Beluran, awal pagi semalam. FOTO ihsan polis
Suspek disyaki menikam dua pekerja asing di rumah pekerja di Ladang Sungai Sabang, Sugut, Beluran, awal pagi semalam. FOTO ihsan polis
Hazsyah Abdul Rahman


POLIS memburu lelaki Indonesia yang disyaki menikam dua rakan sekerjanya sehingga menyebabkan mangsa parah di rumah pekerja Ladang Sungai Sabang, Sugut di Beluran, awal pagi semalam.

Dalam kejadian 1.30 pagi itu, mangsa, Orly Esparaguerra, 30, dan rakan dikenali sebagai Arifin, 33, parah selepas dipercayai ditikam dengan senjata tajam oleh suspek di dada dan pinggang.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa stabil selepas mendapat rawatan di Hospital Pitas dekat sini.

Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan V Shivananthan berkata, ketika kejadian, kedua-dua mangsa sedang minum minuman keras di rumah pekerja ladang sebelum didatangi suspek.

"Suspek tiba-tiba mengeluarkan senjata tajam lalu menikam di dada dan pinggang mangsa, sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.

“Mangsa yang parah sempat ke pondok pengawal keselamatan berhampiran tempat kejadian untuk meminta bantuan. Mereka kemudian dikejarkan ke Hospital Pitas untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2017 @ 5:45 PM