SAEDIN (kiri) memberi makanan kepada ikan di kolamnya.
SAEDIN (kiri) memberi makanan kepada ikan di kolamnya.
Nazdy Harun


Hulu Terengganu: Walaupun mengalami kerugian hingga RM10,000 selepas 3,000 tilapia diternaknya terlepas dari kolam akibat banjir awal tahun ini, ia tidak mematahkan semangat Saedin Ali, 44, dari Kampung Tok Gebok, di sini, meneruskan usaha berkenaan.

Malah, Saedin bercadang memperbanyakkan lagi sangkar untuk memenuhi permintaan tinggi pasaran ikan air tawar.

“Bagaimanapun, sangkar perlu dibina dengan lebih sempurna bagi mengelakkan kerugian seperti awal tahun lalu apabila ikan terlepas akibat banjir,” katanya.

Menurutnya, dia mula menternak ikan dalam kolam secara serius sejak tiga tahun lalu selepas nekad berhenti kerja sebagai penyelenggara membersih kawasan dan kini menjadi penternak dan petani sepenuh masa.

“Sebenarnya saya mula menternak ikan sejak lapan tahun lalu, tetapi untuk mencari pendapatan sampingan saja.

“Selepas mendapati bidang ini mampu memberi pulangan lumayan, saya nekad berhenti kerja dan menumpukan usaha menjadi penternak sejak tiga tahun lalu,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di Kampung Tok Gebok di sini, semalam.

Katanya, permintaan tinggi mendorongnya menjadikan bidang itu sebagai pilihan kerana keperluan pasaran untuk kedai makan yang mengambil bekalan daripadanya masih belum mencukupi.

“Harga di kolam bagi sekilogram ikan tilapia dan patin ialah RM10 manakala keli (RM7). Ikan keli dipelihara dalam satu-satu masa mencecah 5,000 ekor dan mampu dipasarkan dalam tempoh dua bulan setengah saja.

“Ikan patin pula 3,000 ekor dan boleh dipasarkan selepas empat bulan manakala tilapia dipelihara sebanyak 3,000 ekor dan dalam tempoh enam bulan baru boleh dijual,” katanya.

Menurutnya, dia kini mempunyai enam sangkar bersebelahan rumahnya dan tiga kolam besar bagi menempatkan ikan diternak.

“Selain menjual ikan yang matang, saya juga menjadikan kolam ikan sebagai pusat memancing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 9:23 AM