LALUAN bandar Segamat ke Yong Peng terputus hubungan apabila air Sungai Genuang melimpah di Jalan Genuang, Segamat.
LALUAN bandar Segamat ke Yong Peng terputus hubungan apabila air Sungai Genuang melimpah di Jalan Genuang, Segamat.

Segamat: Mengambil kira tahap keselamatan jambatan Sungai Segamat di Jalan Genuang, di sini, yang pernah beberapa kali dibadai arus deras ketika banjir besar melanda sebelum ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) menutup kemudahan itu, semalam, atas faktor keselamatan.

Jurutera JKR Daerah Segamat, Azman Ismail berkata, langkah menutup jambatan berkenaan mulai jam 5.45 petang kepada semua kenderaan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga susulan jambatan berkenaan sudah tiga kali dilanda banjir besar.

“Pada 2006, 2001 dan hari ini, arus deras mengenai bahagian bawah jambatan sepanjang 50 meter itu dan ia menyebabkan gegaran kuat yang boleh menjejaskan struktur binaannya.

“Sehubungan itu, langkah drastik menutup laluan jambatan ini adalah wajar untuk pemeriksaan lebih lanjut dilakukan,” katanya.

Menurutnya, pengguna jalan raya masih boleh menggunakan jambatan di Jalan Hassan Abdullah sebagai alternatif sehingga pihaknya selesai melakukan pemeriksaan.

Azman berkata, pihaknya menempatkan kakitangan JKR memantau situasi di sekitar lokasi selama 24 jam selain akan membuka semula jambatan itu jika banjir reda dan tiada kerosakan struktur utama dikesan.

Sementara itu, Pegawai Daerah Segamat Mohd Haffiz Ahmad berkata, demi kebaikan semua pihak, tindakan itu terpaksa diambil dan ia hanya bersifat sementara.

Katanya, pengguna jalan raya juga dinasihati mematuhi arahan papan tanda yang disediakan bagi melancarkan aliran trafik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 5:52 AM