ABU Hassan
ABU Hassan
Hairulazim Mahmud


Kuala Lumpur: Tokoh agama Datuk Abu Hasan Din dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, sejak Ahad lalu berikutan masalah jantung.

Pendakwah terkenal berusia 71 tahun yang juga adik kepada Allahyarham Datuk Dr Haron Din dibawa ke IJN dari Pulau Pinang menaiki kereta dipandu isterinya, Datin Rosbi Shabudin, 63, selepas mengadu sakit dada.

Anak sulungnya, Mohamad Yusri, 42, berkata, bapanya kini mudah penat dan mengah.

“Doktor membuat pemeriksaan awal dan mendapati keadaan jantung stabil, selain kesan rawatan pintasan jantung lalu masih baik.

“Bagaimanapun, doktor akan membuat imbasan hari ini kerana bimbang ada masalah lain,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi anaknya, Shahirah, 38, berkata, bapanya berada di Pulau Pinang kerana menghadiri program jelajah ilmu bagi mengumpul dana Kompleks Tarbiyyah Raudhatul Jannah (KOTARAJA) di Ipoh, Perak.

Katanya, keadaan bapanya yang juga penaung kompleks berkenaan ketika ini lemah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2017 @ 8:17 AM