ISMA Suhaimi (enam dari kanan, belakang) bersama pegawai JPJ di majlis menyambut ketibaan Hishamuddin (lima dari kiri, belakang) di Pejabat JPJ Kedah.
ISMA Suhaimi (enam dari kanan, belakang) bersama pegawai JPJ di majlis menyambut ketibaan Hishamuddin (lima dari kiri, belakang) di Pejabat JPJ Kedah.

Alor Setar: Penunggang motosikal klasik secara solo Hishamuddin Md Rashid, 45, yang melakukan jelajah Semenanjung Malaysia dengan jarak perjalanan sejauh 2,187 kilometer (km) sempena mempromosikan Tahun Melawat Perak 2017 (TMP 2017) selamat tiba di pekarangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, di sini, semalam.

Kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Taiping itu memulakan jelajahnya sejak 15 Disember lalu yang akan tamat pada 31 Disember ini di Ipoh, Perak.

Hishamuddin atau nama samarannya Kojeq menggunakan motosikal klasik Honda S90 tahun 1974 dalam misi solonya menjelajah 12 negeri sambil mempromosikan Perak sempena TMP 2017.

Ketibaan Kojeq pada jam 10 pagi tadi disambut Pengarah JPJ Kedah Isma Suhaimi Sharif dan dibawa melawat pejabat JPJ sebelum mengedarkan risalah promosi TMP 2017.

Kojeq berkata, sesi jelajah itu anjuran bersama Skuad Muda 1JPJ Perak dengan sokongan kerajaan negeri.

Menurutnya, misinya sudah hampir tercapai dan akan meneruskan perjalanan ke Perlis sebelum bermalam di sana semalam dan meneruskan perjalanan hari ini ke Pulau Pinang.

“Pelbagai cabaran dan halangan dilalui sepanjang jelajah ini seperti motosikal mengalami kerosakan dan menghadapi cuaca tidak menentu, namun tidak mematahkan semangat sebaliknya saya tetap meneruskan misi ini.

“Sebaik cabaran ini tamat nanti, saya bercadang melakukan jelajah sama di Asia pula bagi membuktikan motosikal yang sudah berusia 42 tahun ini masih mampu berjalan jauh,” katanya ketika ditemui di perkarangan JPJ Kedah, semalam.

Menurut Kojeq, motosikalnya yang dibeli dengan harga RM200 sebelum diubah suai mencecah kos RM16,000 bertemakan Ghost Rider sudah memenangi 46 kejuaraan pertunjukan kenderaan berhias.

“Saya jangka akan tiba di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh, Perak pada 31 Disember ini sebelum menyambut Tahun Baru di sana nanti,” katanya.

Bagi menyempurnakan misi itu, dia turut diiringi empat motosikal dan satu kereta memulakan perjalanan dari Ipoh ke Selangor dan seterusnya ke Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Kuala Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan terakhir akan berlepas dari Taiping ke Dataran Majlis Bandaraya Ipoh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2016 @ 7:48 AM