KAYU  balak yang ditebang pencuri gaharu yang ditemui di Taman Negara Lundu.
KAYU balak yang ditebang pencuri gaharu yang ditemui di Taman Negara Lundu.
Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail


Kuching: Taman Negara Kubah, Matang, di sini, yang kaya dengan kayu gaharu dikesan diceroboh secara berkumpulan dalam tempoh agak lama dan aktiviti itu terbongkar, kelmarin.

Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) berjaya mengesan aktiviti itu apabila terjumpa khemah kanvas yang ditinggalkan dengan kesan pencerobohan di kawasan sekitarnya.

Jurucakap SFC berkata, berdasarkan barang yang ditemui dalam khemah seperti pakaian dan beberapa peralatan, kumpulan penceroboh itu dipercayai warga asing.

“Ketika serbuan, penceroboh sudah melarikan diri dengan pakaian dan peralatan memotong kayu gaharu ditinggalkan di lokasi kejadian.

“Mereka dipercayai sudah beroperasi dalam tempoh agak lama dan mencuri kayu gaharu yang banyak ditemui di taman negara itu,” katanya.

Dalam serbuan kedua di Taman Negara Gunung Gading, Lundu, penceroboh didapati menebang balak dan memprosesnya menjadi kayu bergergaji sebelum dibawa keluar dari kawasan hutan.

Katanya, sebanyak 241 kayu bergergaji dan dua gergaji mesin ditemui dalam serbuan, namun kumpulan pembalak haram melarikan diri.

“Laporan polis dibuat di Balai Polis Lundu untuk rujukan dan kes diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan selanjutnya,” katanya.

SFC berkata, kawasan taman negara di negeri ini memang menarik minat penceroboh kerana kaya dengan kepelbagaian biologi serta banyak balak bernilai tinggi.

Bagaimanapun, penguat kuasa SFC sentiasa berwaspada dan kerap melakukan rondaan untuk mengesan penceroboh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2016 @ 6:49 AM