KULIT kayu tangar bernilai RM350,000 dicuri dari hutan simpan dirampas pasukan keselamatan. FOTO Ihsan PGA Sabah
KULIT kayu tangar bernilai RM350,000 dicuri dari hutan simpan dirampas pasukan keselamatan. FOTO Ihsan PGA Sabah
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Op Khazanah Bersepadu berjaya menemukan 10,000 kilogram kulit kayu tangar yang dipercayai dicuri dari Hutan Simpan Kuala Sungai Paitan, Sungai Sugut, Pulau Jambongan, Beluran, semalam.

Dalam operasi jam 2 petang itu, semua kayu berkenaan ditinggalkan di dalam sebuah bot yang dipercayai dari Filipina.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, operasi dijalankan pegawai dan anggota Batalion 20 PGA Beluran dengan kerjasama Jabatan Perhutanan dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).

Katanya, ketika rondaan dijalankan, pasukan operasi menemui sebuah bot serta enjin yang tidak berdaftar dipercayai digunakan oleh penceroboh.

"Pasukan operasi terus melakukan pemeriksaan di kawasan sekitar dan tidak menemui mana-mana individu atau kesalahan lain di lokasi.

"Rampasan kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perhutanan untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, semua kayu yang ditemui dianggarkan bernilai RM350,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, bot yang digunakan pula dianggarkan bernilai RM80,000.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 23 Enakmen Perhutanan 1968 dan Peraturan-Peraturan Hutan 1969.

"Pegawai penyiasat Jabatan Perhutanan kemudiannya mengambil tindakan melupuskan dengan membakar semua kulit kayu berkenaan termasuk bot ditemui," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 11:14 AM