ANAK penyu karah baru menetas di  Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Padang Kemunting.
ANAK penyu karah baru menetas di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Padang Kemunting.
Salman Hamat dan Nur Saliawati Salberi


Melaka: Mohd Fardiansah Mohd Safri antara orang kuat dalam memastikan operasi Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Padang Kemunting, Pangkalan Balak, di sini, berjalan lancar.

Ketua Penyelia Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu itu berperanan merekodkan jumlah telur penyu karah dikutip renjer penyu dan pemungut telur berlesen sekitar negeri ini.

Beliau berkata, mengikut kebiasaan jumlah telur dikutip daripada setiap sarang adalah 100 hingga 200 biji yang dieramkan di tapak penetasan di pusat konservasi itu.

“Usaha kami jalankan ini nampak senang tetapi penjagaan telur penyu juga cerewet, bagi memastikan semua telur yang dieramkan berjaya ditetaskan dan menghasilkan anak penyu sihat.

“Suhu juga perlu dikawal jika terlalu panas anak penyu menetas dalam keadaan tidak sempurna atau cacat, sekali gus harapan untuk hidup semakin tipis berikutan berisiko tinggi diserang pemangsa di laut.

“Mengikut anggaran daripada 1,000 anak penyu yang dilepaskan semula ke laut hanya 30 atau 40 ekor saja akan hidup. Populasi yang ada itulah yang akan teruskan kelangsungan penyu, tetapi jika habitatnya diganggu reptilia itu mungkin tidak dapat bertelur,” katanya.

Mohd Fardiansah berkata, bagi menghasilkan penyu jantan pihaknya akan memastikan suhu berada bawah 29 darjah Celsius manakala untuk betina pula 30 darjah Celsius dan ke atas.

Anak kelahiran Sabah itu berkata, selain merekod dan menetaskan telur penyu pihaknya kini melakukan persiapan untuk menyemai anak benih pokok ambong-ambong untuk ditanam di sepanjang pesisir pantai menjadi lokasi pendaratan penyu.

“Penyu karah gemar bersarang di bawah pokok jenis ini, selain itu tumbuhan ini juga mampu menggalakkan pantai daripada cepat terhakis. Bukan saja beri keselesaan pada penyu, tetapi kami juga bantu kurangkan hakisan,” katanya.

Mohd Fardiansah berkata, dia ditugaskan di pusat konservasi itu sejak 2012 dan pada mulanya tidak berminat terhadap penyu kerana langsung tidak mengetahui mengenai reptilia itu.

Menurutnya, selepas setahun bertugas mula timbul sikap tanggungjawab dalam diri untuk bersama-sama membantu usaha memulihara penyu karah yang kini diancam kepupusan.

“Saya berasal daripada keluarga nelayan, berikutan itu pengetahuan mengenai hidupan laut mendorong minat saya terhadap proses pemuliharaan penyu karah.

“Sepanjang bertugas saya menempuh pelbagai cabaran terutama ancaman pencuri telur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2016 @ 9:53 AM