Adnan Ibrahim

Simpang Renggam: “Dia tetap sempurna di mata saya dan kasih sayang ini sentiasa ada untuknya hingga akhir hayat” kata wanita warga emas, Yatinah Ejor, 77, berkongsi pengorbanan cucu perempuannya yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam yang memikul tanggungjawab menjaganya di Layang-Layang, di sini.

Cucunya, Azlin Jamaluddin 17, berkongsi kasih menjaga neneknya selepas kematian ibu kira-kira 10 tahun lalu.

Yatinah berkata, dia bersyukur dikurniakan cucu yang bertanggungjawab semata-mata memastikan dirinya terurus, apatah lagi hanya bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak.

Menurutnya, walaupun lembam, namun Azlin memahami tugasnya biarpun kepenatan selepas pulang daripada kelas pendidikan khas di sekolah berhampiran rumah mereka di Kampung Paya, di sini.

“Dia mungkin boleh mengikut naluri remajanya untuk tidak mahu menjalankan tanggungjawab, tetapi Azlin tidak begitu, sebaliknya cukup menjaga kesihatan dan keperluan saya.

“Biarpun sudah menamatkan pelajaran di Sekolah Pendidikan Khas itu, dia tetap menjaga saya sepenuh masa manakala keperluan perbelanjaan harian diuruskan menantu, Jamaludin Muharam, 62, dan cucu sulung, Zamri Jamaludin, 34, yang melakukan kerja kampung,” katanya.

Terdahulu, Yatinah dan Azlin ditemui pada Program Khidmat Bantu Di Rumah anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kluang, semalam.

Turut membantu Pasukan Sukarelawan Kebajikan Layang-Layang, Sukarelawan Johor Charity Community (JCC), kakitangan Pasaraya Econsave Simpang Renggam dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Paya.

Menurutnya, mereka bersyukur mendapat rumah disumbangkan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) melalui sumbangan zakat.

“Dengan bantuan diberikan ini, dapatlah kami berteduh dan usia rumah ini sudah menjangkau 10 tahun,” katanya.

Sementara itu, Pegawai JKM Daerah Kluang, Donna Ambrose berkata, pihaknya berterima kasih dengan keprihatinan masyarakat setempat yang membantu menjayakan program kebajikan untuk keluarga berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2016 @ 6:05 AM