MOHD Sapawi (kiri) dan Shukur (dua dari kanan) didakwa membunuh Mohamad Roshamnudin.
MOHD Sapawi (kiri) dan Shukur (dua dari kanan) didakwa membunuh Mohamad Roshamnudin.
Izlaily Nurul Ain Hussein


Mersing: Tiga sekeluarga termasuk ibu seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas pertuduhan membunuh.

Tertuduh, Roshimah Abdullah, 27, bersama suaminya, Mohd Sapawi Ab Talib, 27, dan abang iparnya, Shukur Ab Talib, 31, mengangguk tanda faham akan pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan yang direkodkan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama-sama membunuh Mohamad Roshamnudin Abdullah, 11 yang juga kanak-kanak OKU di No M-8, Kampung Bukit Tekedai, Endau di sini, antara jam 8.30 malam, 18 Oktober hingga jam 4.30 petang, 19 Oktober lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaila Shafi’uddin manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 7 Disember ini sementara menunggu laporan kimia, DNA dan forensik.

Difahamkan, Roshimah seorang suri rumah manakala Mohd Sapawi bekerja sebagai pemotong rumput dan Shukur seorang buruh kasar.

Roshimah mempunyai tiga anak termasuk mangsa yang juga hasil perkahwinan dengan suami terdahulu.

Harian Metro, dua minggu lalu melaporkan bahawa Mohamad Roshamnudin meninggal dunia disyaki akibat didera keluarganya.

Pada mulanya mangsa dibawa ibu kandungnya ke Klinik Kesihatan Endau di sini, selepas mendakwa kanak-kanak itu ditemui tidak sedarkan diri dalam bilik air rumah mereka.

Klinik Kesihatan Endau kemudian mengesahkan kanak-kanak lelaki itu meninggal dunia sebelum hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di dada selain terdapat kesan lebam dan melecur di badan.

Pihak polis yang kemudiannya mengaitkan kematian mangsa dengan unsur jenayah menahan tiga suspek dalam kes ini iaitu ibu kandung mangsa, bapa tiri mangsa dan bapa saudara tiri mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2016 @ 10:16 AM