ABDUL Jalil (tengah), Takashi  (kiri) dan Tatiana  (dua dari kiri)  bersama peserta berbasikal sebelum memulakan pelepasan Kempen Reben Merah Jambu Wacoal 2016 di Balai Berita Bangsar, semalam.
ABDUL Jalil (tengah), Takashi (kiri) dan Tatiana (dua dari kiri) bersama peserta berbasikal sebelum memulakan pelepasan Kempen Reben Merah Jambu Wacoal 2016 di Balai Berita Bangsar, semalam.
myMetro

Kuala Lumpur: Benar dia tidak dapat melihat namun kesungguhan dan minat dalam sukan berbasikal menjadi pendorong Nursyahida Tajudin, 24, menyertai program berbasikal sempena Kempen Reben Merah Jambu Wacoal 2016 di Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Bangsar, semalam.

Malah, kata Nursyahida, misi kempen yang mahu memberi kesedaran dalam memerangi kanser payudara selain menggalakkan gaya hidup sihat membuatkan dia teruja menyertainya.

“Sebagai wanita saya tahu kanser itu boleh membawa maut. Sebagai langkah awal, saya perlu menyokong kempen ini bagi memastikan wanita sentiasa berwaspada terhadap kanser itu dan perkara yang dilakukan jika dikesan menghidapnya.

“Ini kali pertama saya menyertai kempen seperti ini dan akan membuktikan bahawa orang kelainan upaya (OKU) seperti saya juga mampu melakukan aktiviti yang mencabar demi kebaikan bersama,” katanya yang ditemui sebelum memulakan kayuhan.

Dia bersama lapan lagi rakan OKU dari Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) menggunakan basikal tandem yang mempunyai dua pengayuh dan dibantu oleh peserta yang boleh melihat adalah antara 600 peserta kempen anjuran syarikat pembuat pakaian dalam wanita, Wacoal Malaysia (Wacoal) Sdn Bhd dengan kerjasama NSTP.

Peserta kayuhan basikal sejauh 25 kilometer yang bermula di Balai Berita, melalui beberapa laluan seperti Jalan Travers, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Dataran Merdeka dan Persiaran KLCC sebelum berpatah balik ke NSTP dilepaskan oleh Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid dan Pengarah Eksekutif Wacoal Malaysia, Takashi Watanabe pada jam 8 pagi.

Menariknya, Ratu Dunia Malaysia 2015 dan 2016, Brynn Lovett serta Tatiana Kumar turut hadir memberi sokongan untuk kempen itu.

Seorang lagi peserta OKU, Oi Yong, 50, berkata, penyertaan dalam program itu menunjukkan keprihatinannya memberi kesedaran untuk melawan kanser payudara.

“Saya akan terus memberi mesej dengan memaklumkan dan menyebarkan maklumat kepada orang tersayang mengenai kesedaran dan membuat pengesanan awal kanser payudara,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan Jualan dan Pemasaran Wacoal, Lo Yean Feein berkata, pihaknya sangat berbangga dengan tahun ketiga penganjuran program bersama NSTP itu.

“Program ini sebahagian tanggungjawab sosial korporat kami bagi mempromosikan kempen reben merah jambu yang dijalankan pada bulan Oktober setiap tahun.

“Sambutan yang menggalakkan membuatkan pihak kami akan terus melaksanakan perjuangan menentang kanser payudara untuk mengurangkan peningkatan jumlah pesakit barah payudara yang menjadi pembunuh terbesar wanita di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2016 @ 9:26 AM