PESERTA mengutip batu untuk melontar di jamrotul.
PESERTA mengutip batu untuk melontar di jamrotul.
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Nerus: “Sebelum ini, anak-anak hanya memahami haji adalah ibadah korban saja, tetapi program ini memberi pendedahan kepada mereka mengenai ibadat haji secara keseluruhannya,” kata Zakaria Nawang, 50, bapa kepada Ahmad Aliuddin, 5, seorang peserta Program Simulasi Haji Cilik.

Ahmad Aliuddin antara antara 1,017 kanak-kanak yang menyertai program berkenaan yang diadakan di perkarangan Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, semalam.

Zakaria berkata, program yang pertama kali dianjurkan membabitkan kanak-kanak lima dan enam tahun itu memberi banyak manfaat kepada peserta dan ibu bapa.

“Pendedahan awal melalui program ini memberi peluang kepada anak-anak untuk merasai sendiri suasana ibadat haji yang sebenar.

“Mereka berpeluang merasai pengalaman tawaf, saei dan rukun haji yang lain mengikut urutan,” katanya dari Manir.

Pendapat sama turut sokong Rohani Abdullah, 45, dari Kampung Banggol Peradong yang menyifatkan program itu bukan sahaja mendidik anak-anak tetapi turut memberi pendedahan kepada ibu bapa yang hadir.

“Ia pengalaman yang sangat berharga apabila peserta terdidik dan diberi pendedahan secara keseluruhan mengenai ibadat haji.

“Saya berpendapat program ini wajar dijalankan setiap tahun untuk memupuk semangat dan rasa cinta serta keinginan dalam kalangan anak-anak untuk mengerjakan haji di Tanah Suci Makkah,” katanya.

Mohd Nasir Ngah, 42, dari Gong Badak berkata, dia mengambil cuti khas untuk menyaksikan simulasi haji membabitkan anaknya itu.

“Saya teruja melihat anak-anak kecil berihram dan menjalankan rukun haji mengikut urutan yang sebenar.

“Seharusnya program seperti ini dijalankan sejak dulu lagi kerana ia memberi peluang kepada kanak-kanak mempraktik ibadat haji yang sebelum ini dipelajari secara teori saja di tadika,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program Wan Najmiyah Wan Yusof berkata, program pertama kali anjuran Persatuan Tadika Islam Malaysia dan Persatuan Pengasuh Negeri Terengganu itu disertai 1,017 kanak-kanak dari 37 tadika dan taska swasta seluruh Terengganu.

“Program itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada kanak-kanak mengenai ibadat haji.

“Rukun-rukun haji dijalankan mengikut urutan dan melatih mereka melafazkan talbiyah dengan betul,” katanya.

Menurutnya, program itu bermula dengan simulasi pendaftaran Imigresen Lapangan Terbang Jeddah, wukuf di Arafah, mabit di Muzdalifah, melontar jamrah, bertahallul, tawaf, saei dan ibadah korban.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 6:56 AM