Jempol: Tiga maut manakala tiga lagi cedera parah apabila dua kereta bertembung dalam kemalangan di Kilometer 23, Jalan Bahau-Keratong, semalam.

Kemalangan berlaku jam 8.15 malam dipercayai berpunca apabila pemandu Proton Perdana hilang kawalan lalu memasuki laluan kanan dan bertembung dengan Proton Waja.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Noorzainy Mohd Nor berkata, mereka yang terbunuh adalah Sha’ri Md Akim, 63, yang juga pemandu Proton Perdana.

Beliau berkata, dua lagi adalah pemandu dan penumpang Proton Waja dikenali sebagai R Julie, 34, dan R Saniasammah, 58.

“Anak Sha’ri, Siti Nur
Azeera, 18, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan cedera parah.

“Dua lagi cedera parah adalah M Rajaispasri, 47, dan K Srinikha, 6. Kedua-dua mangsa adalah penumpang Proton Waja,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Proton Perdana dinaiki dua beranak dari Muadzam Shah, Pahang menuju Bahau dipercayai hilang kawalan.

“Akibat kemalangan itu, kedua-dua pemandu kereta terbabit maut di tempat kejadian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 11:28 AM