BAS ekspres yang terbakar selepas terbabit kemalangan dengan kereta.
BAS ekspres yang terbakar selepas terbabit kemalangan dengan kereta.

Rawang : Tiga rentung dalam kemalangan membabitkan bas ekspres dan kereta di Kilometer 447 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Rawang Selatan-Hospital Sungai Buloh, semalam.

Dalam kejadian pada jam 8.23 malam itu, mangsa yang rentung adalah penumpang Proton Wira Aeroback.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila bas berkenaan melanggar Proton Wira Aeroback menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terbakar.

Beliau berkata, terdapat 15 penumpang di dalam bas berkenaan dan seorang pemandu namun semua dilaporkan selamat.

“Seramai 14 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba Rawang dan Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu operasi menyelamat.

“Terdapat tiga mangsa rentung namun identiti mereka belum dikenal pasti. Operasi masih dijalankan bagi mengeluarkan mangsa yang rentung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2016 @ 11:16 AM