KEADAAN motosikal mangsa,  Muhammad Syariezam yang terlanggar pokok getah tumbang di tengah jalan di Machap Baru, Alor Gajah.
KEADAAN motosikal mangsa, Muhammad Syariezam yang terlanggar pokok getah tumbang di tengah jalan di Machap Baru, Alor Gajah.
Mohd Hilmie Hussin dan Mohd Shafik Zainol Abidin

Alor Gajah: Seorang remaja yang bekerja sebagai tukang cuci kenderaan maut akibat parah di kepala selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar pokok tumbang yang melintangi jalan di Jalan Machap Baru, di sini, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian jam 6 pagi, mangsa, Muhammad Syariezam Adam, 17, yang menunggang motosikal Honda EX5 hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan selepas melanggar pokok berkenaan.

Ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal seorang diri dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Machap Baru dari tempat kerja di sebuah pusat beli-belah di bandar Melaka.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan maut yang meragut nyawa remaja terbabit.

“Hasil siasatan awal dilakukan kami percaya mangsa tidak menyedari ada pokok tumbang di laluan berkenaan. Dia tidak sempat mengelak dan melanggarnya hingga menyebabkan motosikal ditunggang terbabas ke bahu jalan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah (HAG) untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya,” katanya.

A Asmadi berkata, pihaknya juga sudah menghubungi keluarga mangsa bagi memaklumkan kejadian itu dan siasatan berhubung kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 10:19 AM