myMetro

Kuantan: Jabatan Kesihatan Pahang mengesahkan masih ada ibu bapa atau penjaga di negeri ini enggan membenarkan anak mereka diberikan imunisasi.

Pengarahnya, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, berikutan itu, berlaku peningkatan jumlah ibu bapa atau penjaga menolak imunisasi pada setiap tahun.

Katanya, berdasarkan statistik pada 2014, ada sebanyak 84 kes sebelum meningkat kepada 126 kes tahun lalu manakala sehingga Mei tahun ini, sebanyak 88 kes penolakan imunisasi.

“Sehingga 24 Jun lalu, sebanyak 29 kes demam campak dilaporkan berlaku di Pahang berbanding dua kes bagi tempoh sama tahun lalu.

“Kes itu membabitkan mereka yang berusia antara tiga bulan hingga 37 tahun dan 38 peratus daripada kes adalah mereka yang layak mendapat imunisasi tetapi didapati tidak mendapatkan suntikan vaksin measles.

“Antara sebab utama penolakan vaksin atau imunisasi adalah keraguan terhadap kandungan vaksin, isu halal-haram, mengamalkan perubatan homeopati dan pengaruh keluarga atau rakan.

“Fenomena ibu bapa atau penjaga enggan membenarkan anak mereka diberikan imunisasi adalah amat membimbangkan kerana ini boleh mendatangkan bahaya kepada anak serta boleh menjadi punca merebaknya jangkitan penyakit berjangkit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Bagi menangani isu itu, beliau berkata, Jabatan Kesihatan Pahang mengambil langkah secara aktif dan meluas dengan memperhebatkan pendidikan dan promosi kesihatan serta bekerjasama dengan agensi berkaitan, komuniti dan media.

Katanya, saluran media sosial turut dilakukan untuk menyedar dan menginsafkan masyarakat betapa pentingnya mendapatkan suntikan imunisasi lengkap.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2016 @ 5:19 AM