JOHAN Abdullah
JOHAN Abdullah
Nazarali Saeril


Madinah: Penginapan 22,320 jemaah haji Malaysia sepanjang berada di Madinah serta Makkah bagi musim haji tahun ini terjamin kerana Tabung Haji (TH) sudah mengambil langkah awal menyewa 12 bangunan di dua bandar raya berkenaan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Johan Abdullah berkata, Sembilan bangunan berkenaan disewa di Tanah Suci manakala tiga lagi di Madinah.

“Kami mahu memastikan kebajikan jemaah haji terjamin dan kerana itu, bangunan disewa di Tanah Suci terletak kurang satu kilometer dari Masjidil Haram.

“Di Madinah pula, lokasinya kurang daripada 150 meter dari Masjid Nabawi, sekali gus memudahkan jemaah untuk menjalani ibadat dengan lebih mudah,” katanya ketika Lawatan Kerja Ke Tanah Suci Makkah Bagi Meninjau Persiapan TH Bagi Musim Haji 1437H.

Dalam perkembangan lain, Johan berkata, jemaah haji akan diterbangkan ke Makkah menggunakan perkhidmatan sewa khas Malaysia Airlines Berhad (MAS) dan Saudi Arabian Airlines.

“Penerbangan pertama akan berlepas ke Tanah Suci pada 4 Ogos dan yang terakhir pada 4 September ini.

“Penerbangan pulang pertama pula bermula 17 September hingga 15 Oktober,” katanya.

Beliau berkata, TH turut menyediakan kaunter kewangan di setiap bangunan penginapan jemaah haji.

“Jemaah hanya perlu mengemukakan tag nama serta menggunakan cap jari bagi mengeluarkan wang daripada akaun simpanan Tabung Haji. Mereka tidak perlu membawa buku akaun atau kad pengenalan, ia memudahkan jemaah untuk berbelanja,” katanya.

Selain itu, TH turut menyediakan kemudahan klinik di bangunan penginapan selain pusat rawatan di Madinah juga Makkah dan rawatan serta pemeriksaan perubatan adalah percuma.

“Klinik serta pusat rawatan ini akan dibuka apabila musim haji bermula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2016 @ 12:04 PM