TUNKU Sallehuddin ketika tiba untuk melawat Ahmad Bashah di KMC, semalam.
TUNKU Sallehuddin ketika tiba untuk melawat Ahmad Bashah di KMC, semalam.

Alor Setar: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah terpaksa bercuti dalam tempoh tertentu sehingga pulih selepas disahkan mengalami masalah komplikasi usus dan menerima rawatan pakar di Kedah Medical Centre (KMC), di sini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Bakar Din berkata, bagaimanapun komplikasi usus itu tidak serius dan Ahmad Bashah dalam keadaan stabil walaupun ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Menurutnya, pakar perubatan meneliti dan merawat Menteri Besar, namun difahamkan setakat ini tidak sampai ke tahap memerlukan pembedahan.

“Beliau tiada masalah serius, namun hanya sedikit komplikasi usus, malah sebelum ini pun memang beliau ada sedikit masalah itu.

“Jika keadaan kesihatan beliau semakin pulih, pakar perubatan akan memindahkannya ke wad biasa untuk rawatan susulan.

“Kita doakan supaya beliau kembali sembuh dan dapat menyambung semula tugasnya,” katanya pada sidang media di KMC, di sini, semalam.

Terdahulu, Bakar mengiringi Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah bersama Puan Temenggong Kedah Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariff melawat Ahmad Bashah di ICU.

Turut hadir Pengarah Urusan D’Herbs Datuk Aliff Syukri Kamarzaman dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional.

Bakar berkata, keadaan Menteri Besar itu kini stabil dan pelbagai cerita viral mengatakan beliau rebah dan jatuh itu tidak benar.

“Saya nak buat pengesahan Menteri Besar dalam keadaan biasa... sedar dan boleh bercakap cuma dia ada masalah (komplikasi usus) dan masuk hospital.

“Setakat ini saya difahamkan tidak sampai ke tahap memerlukan pembedahan namun bergantung kepada pemeriksaan pakar perubatan,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak diharap memberi ruang dan masa kepada Ahmad Bashah untuk berehat, selain meminta sesiapa jangan melawatnya.

“Kalau melawat nanti beliau kena bercakap sedangkan sepatutnya beliau harus berehat... doakan saja beliau lekas sembuh,” katanya.

Menurut Bakar, pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa kerana ada Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) cuma mesyuarat Exco saja yang akan ditangguhkan.

Isteri Ahmad Bashah, Datin Seri Hizam Awang Ahmad berkata, suaminya kini dalam keadaan stabil dan berehat di ICU.

“Suami saya tidak kritikal walaupun ditempatkan di ICU kerana doktor menempatkannya di situ kerana ingin beliau rehat sepenuhnya.

“Jika ditempatkan di wad biasa bimbang orang keluar masuk menyebabkan suami tidak dapat berehat secukupnya,” katanya.

Hizam berkata, suami diminta berpuasa sejak 12 tengah malam kelmarin untuk pemeriksaan dalaman.

“Suami sering mementingkan kesihatan namun beliau tidur lambat baru-baru ini sekitar jam 2 pagi dan bangun jam 6 pagi yang kemungkinan menyebabkan suami keletihan.

“Sebelum kejadian itu, suami pulang ke rumah tukar baju dan kemas barang untuk ke Kuala Kangsar malam semalam (kelmarin) sebelum tertidur sekejap di kerusi kerana keletihan.

“Suami kemudian keluar semula untuk menghadiri mesyuarat di hotel sebelum beliau dikejarkan ke hospital,” katanya.

Ahmad Bashah pitam ketika menghadiri mesyuarat bersama wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di sebuah hotel di sini, kelmarin menyebabkan dia dikejarkan ke KMC.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2016 @ 10:57 AM